Bak kata pepatah moden, carik-carik bulu ayam, lama-lama menjadi bulu tangkis. Begitulah yang boleh diibaratkan kepada trio paling sensasi WWE di era ini iaitu The Shield.

Setelah gagasan ini terbubar pada Jun 2014 akibat ketamakan Seth Rollins yang sanggup menikam sekutunya Dean Ambrose dan Roman Reigns dari belakang demi menempatkan diri dalam pasukan The Authority, kini segala luka lama dan sejarah hitam seakan dilupakan apabila tiga jaguh utama ini akan bergabung semula tidak lama lagi bagi mendepani musuh yang sama.

Pasca acara WWE No Mercy hujung bulan lalu, tumpuan Roman kini beralih kepada Juara Antara Benua WWE, The Miz yang sengaja mengungkit kembali kisah kejatuhan The Shield bagi membangkitkan amarah Roman. Tidak cukup dengan itu, pertembungan satu lawan satu antara The Big Dog dengan The Miz di siaran Raw minggu lalu berakhir dengan tragedi apabila Roman dibelasah teruk oleh The Miz yang dibantu balacinya, The Miztourage (Curtis Axel dan Bo Dallas) menggunakan kerusi besi.

Bagi membalas apa yang telah berlaku, Roman telah dijadualkan untuk bertemu The Miz di acara Raw semalam dengan Kejuaraan Antara Benua milik Miz menjadi taruhan. Kali ini Roman lebih bersedia apabila bijak membelasah Axel dan Dallas terlebih dahulu sehingga keduanya tidak berdaya dan meninggalkan The Miz terkontang kanting keseorangan.



Pertembungan antara dua jaguh ini semalam nyata amat menarik pada hemat penulis. Miz biarpun bersendirian, namun beliau masih mampu menghadapi Roman dengan baik. Pada satu dua ketika, Roman yang sebelum itu telah menghabiskan separuh kudratnya untuk Axel dan Dallas, kelihatan agak lelah menerima serangan daripada suami kepada Maryse itu.



Rupanya ketiadaan The Miztourage belum cukup menjamin perlawanan ini bebas daripada gangguan. Muncul bekas Juara Regu Raw, Sheamus dan Cesaro dari tempat duduk penonton lantas menarik Roman ke bawah disusuli dengan serangan ke atas bekas Juara Heavyweight Dunia WWE itu. Kesudahannya, Roman beroleh kemenangan secara pembatalan DQ dan Miz dapat terus menyimpan bengkung kejuaraan Antara Benua.

Miz, Cesaro dan Sheamus bergabung tenaga dengan membelasah Roman tanpa belas kasihan. Serangan diakhiri dengan satu gerakan lazim yang pernah dipopularkan The Shield iaitu Bantingan Peledak Ganda Tiga (Triple Powerbomb) ke atas Roman, dan ketiga penggusti durjana ini mengajuk gaya tangan The Shield sebagai tanda berbangga atas kejayaan mereka.



Sudah tentu dalam situasi ini, para WWE Universe amat mendambakan agar Ambrose dan Rollins muncul menjadi penyelamat. Namun ia tidak menjadi kenyataan kerana Ambrose/Rollins lebih awal menjadi mangsa Sheamus/Cesaro yang menyerang mereka ketika perlawanan antara Rollins dan Braun Strowman mengambil tempat dalam perlawanan pembuka tirai Raw.

Di hujung siaran Raw, dapat kita saksikan Roman yang sedang berehat sambil menahan kesakitan di bilik persalinan, didatangi Ambrose dan Rollins. Biarpun tanpa sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut masing-masing, para peminat boleh mengagak yang kata sepakat antara mereka telah dicapai dan impian untuk menyaksikan penyatuan semula The Shield setelah hampir tiga tahun terkubur, akan menjadi realiti.



Spekulasi penyatuan semula trio ini semakin kuat apabila poster rasmi acara WWE TLC yang akan mengambil tempat pada 23 Oktober ini turut menampilkan wajah ketiga-tiga mereka dengan perkataan The Shield yang turut terpampang jelas. Sudah terang lagi bersuluh, Roman/Ambrose/Rollins akan bersatu bagi menentang kebobrokan yang telah dicetus oleh gabungan Miz/Cesaro/Sheamus. Cuma buat masa ini, stipulasi perlawanan masih belum jelas dan mungkin perlawanan ini akan melibatkan penggunaan senjata seperti tangga, meja dan kerusi bagi meraikan tema acara bulanan istimewa jenama Raw ini.



Cuma sedikit ralat kerana peranan Axel dan Dallas yang pada awalnya dijangka akan menjadi pasangan Miz tidak menjadi kenyataan. Nampak sangat yang WWE tidak yakin dengan kemampuan mereka lantas menggabungkan The Miz dengan pasangan Cesaro/Sheamus. Jadi, memang benarlah yang Axel dan Dallas hanyalah sekadar nasi tambah yang boleh dikesampingkan begitu sahaja apabila tembolok telah penuh.

Yang menjadi persoalan kini, adakah penyatuan semula The Shield kali ini benar-benar utuh dan kukuh? Adakah Roman dan Ambrose telah melupakan pengkhianatan Rollins sebelum ini walaupun The Architect telah berkali-kali memohon maaf? Atau giliran Ambrose atau Roman pula akan tiba untuk menjadi gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut bagi mencapai agenda masing-masing?



Hanya masa yang akan menentukan.

Foto dan video ehsan: WWE.com

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan hampir 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.