Pasukan Raw lengkap dibentuk untuk Survivor Series

Oleh Hafiz Azwany Taher 11 November 2020 479
Pasukan Raw lengkap dibentuk untuk Survivor Series

Acara Raw yang berlangsung semalam menyaksikan lengkapnya pasukan lelaki yang akan mewakili jenama Raw bagi mendepani tentangan daripada pasukan Smackdown di acara WWE Survivor Series pada 23 November depan.

Dianggotai Keith Lee, Sheamus, Braun Strowman dan AJ Styles yang melantik dirinya sendiri sebagai kapten, Riddle layak mengisi slot peserta kelima yang masih kosong apabila berjaya menewaskan Jeff Hardy dan Elias dalam perlawanan tiga penjuru yang amat sengit.

Menjadi kelaziman setiap tahun, acara Survivor Series menjadi medan untuk jenama Raw dan Smackdown bersaing sesama sendiri bagi membuktikan siapakah yang terhebat dan secara tidak langsung, setiap ahli pasukan terpaksa melupakan seketika sebarang sengketa yang ada di antara mereka bagi menggagaskan sebuah pasukan yang mantap.

Tugas berat menanti The Phenomenal One kerana sebagai ketua pasukan kerana perlu memastikan kesemua anggota pasukan Raw nya terus sekata dan bersatu hati walaupun sehingga kini, masing-masing masih ego dan enggan akur kepada perintah mana-mana ahli lain, khususnya daripada AJ sendiri.

Pasukan Raw yang dipimpin AJ akan menerima tentangan daripada pasukan Smackdown yang kini dianggotai oleh Seth Rollins, Jey Uso, Baron Corbin, Kevin Owens dan seorang lagi bintang yang akan dinamakan di acara WWE Smackdown hujung minggu ini dalam perlawanan penyingkiran 5 lawan 5.

Dalam perkembangan lain, pertembungan juara lawan juara di antara Juara WWE Randy Orton yang akan mewakili Raw dengan Juara Universal WWE Roman Reigns yang mewakili Smackdown mungkin tidak akan menjadi kenyataan di acara Survivor Series kelak.
 



Ini berikutan pengumuman yang dibuat WWE pasca Raw berakhir semalam di mana The Viper perlu mempertahankan kejuaraanya kepada Drew McIntyre di acara Raw minggu hadapan, kurang 6 hari sebelum acara Survivor Series.

Ia merupakan perlawanan mempertahankan kejuaraan yang pertama buat bintang berusia 40 tahun ini setelah berjaya menewaskan Drew di acara Hell In A Cell bulan lalu. Setelah tewas, saban minggu Drew konsisten terus menyerang Orton dan bertekad untuk merampas kembali kejuaraan yang dimenanginya di acara Wrestlemania itu pada April yang lalu.

Sekiranya Orton tewas, bermakna Roman Reigns akan berhadapan dengan Drew McIntyre bagi membuktikan juara mana yang paling dominan di antara kedua-dua jenama. Itu pun jika The Miz yang merupakan pemegang kontrak Money In The Bank tidak menunaikan kontraknya semasa perlawanan itu, atau diganggu gugat oleh The Fiend yang sejak sekian lama telah mengintai dan mengidam kejuaraan yang disandang Orton itu.
 
(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Survivor Series pada 23 November depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen