Mengapa WWE kurangkan acara PPV untuk 2018?

Oleh Hafiz Azwany Taher 28 November 2017 3209
Mengapa WWE kurangkan acara PPV untuk 2018?
Langkah WWE mengurangkan jumlah acara bayar dan tonton (pay per view) mereka untuk tahun 2018 sedikit sebanyak mengundang rasa tanda tanya para WWE Universe.

Dalam pengumuman rasmi mereka pada awal minggu ini, WWE akan menganjurkan hanya 14 acara berbanding 16 acara pada 2017. Lima acara akan berada di bawah jenama Raw, manakalala empat acara di bawah kelolaan jenama Smackdown Live.


Acara WWE Money In The Bank (MITB) pula berubah format daripada hanya untuk sebuah jenama pada tahun ini kepada acara yang bakal melibatkan kedua-dua jenama Raw dan Smackdown, menjadikan ia acara tahunan kelima menjadi medan kerjasama antara Raw dan Smackdown selepas Royal Rumble, Wrestlemania, Summerslam dan Survivor Series.

Setakat laporan ini ditulis, belum dapat dipastikan adakah kedua-dua jenama akan mempunyai perlawanan bertangga MITB berbeza melibatkan bintang-bintang kedua-dua jenama, atau kesemua bintang dari dua entiti berbeza itu akan bersaing satu sama lain dalam satu perlawanan. Ini mengambil kira perlawanan MITB wanita yang telah pun memulakan tradisinya tahun ini dan tidak mustahil ia akan dilaksanakan sekali lagi tahun depan.


 
Untuk tahun hadapan juga, hanya bulan Mei dan September sahaja akan menyaksikan dua acara PPV untuk Raw dan Smackdown. Satu penurunan angka yang drastik berbanding tahun ini yang mana memaparkan bulan April, Jun, Julai dan Oktober menganjurkan dua acara untuk Raw dan Smackdown.

Menurut Dave Meltzer melalui Wrestling Observer Newsletter, langkah WWE mengurangkan jumlah acara ini adalah berpandukan angka langganan WWE Network. Untuk rekod, jumlah langganan untuk rangkaian tersendiri WWE itu tidak menunjukkan banyak perubahan positif walaupun mereka menambah jumlah acara bulanan.

Kos perbelanjaan untuk setiap acara semakin meningkat dan laba yang diperoleh pula tidak seperti dijangka. Namun semua ini masih dalam kawalan jika mengambil kira perolehan yang berjaya dijana hasil jualan tiket yang lebih tinggi dan jumlah penonton yang hadir ke setiap arena yang menjadi lokasi setiap acara.

Analisis ringkas turut menunjukkan yang acara PPV berkelas kedua khususnya untuk jenama Smackdown, juga agak longgar dari segi tarikan menyebabkan ia turut menjadi punca mengapa acara PPV untuk Smackdown lebih rendah berbanding Raw.

Berikut merupakan jadual tayangan untuk setiap acara PPV bagi tahun 2018 (tarikh mengikut tayangan waktu Malaysia):
 
1. 29 Januari, Philadelphia: Royal Rumble (RAW & Smackdown)


 
2. 26 Februari, Las Vegas: Elimination Chamber (RAW)


 
3. 12 Mac, Columbus, Ohio: Fast Lane (SmackDown)


 
4. 9 April, New Orleans: WrestleMania 34 (RAW & Smackdown)


 
5. 7 Mei, Newark, New Jersey: Backlash (RAW)


 
6. 28 Mei, Baltimore: Payback (SmackDown)


 
7. 18 Jun, Chicago: Money In the Bank (RAW & Smackdown)


 
8. 16 Julai, Pittsburgh: Battleground (RAW)


 
9. 20 Ogos, Brooklyn: SummerSlam (RAW  & Smackdown)


 
10. 17 September, San Antonio: Extreme Rules (RAW)


 
11. 1 Oktober, Nashville: Hell In a Cell (SmackDown)


 
12. 22 Oktober, Boston: TLC (RAW)


 
13. 19 November, Los Angeles: Survivor Series (RAW & Smackdown)


 
14. 17 Disember, San Jose: Clash of Champions (SmackDown)


Tidak dapat dinafikan, tarikan PPV di era WWE Network kini agak suram dan lesu berbanding keterujaan untuk menyaksikan acara PPV sebelum ini. Di samping lambakan PPV yang menyebabkan nilai eksklusif untuk acara-acara tersebut menjadi rendah, faktor reka letak (design) acara bulanan yang sama seperti acara mingguan Raw dan Smackdown juga menjadi sebab mengapa ia menjadi ‘lemau’ dan kurang dinantikan.

Jika kita imbau semula acara PPV lewat tahun 90an dan awal 2000 dulu, setiap PPV akan menyajikan susun atur arena yang berbeza bagi menampilkan tema bagi setiap acara. Berbeza dengan era ini yang mana WWE hanya memberikan perbezaan untuk acara Wrestlemania sahaja. Itupun kerana acara tahunan terbesar tersebut dibuat di dalam stadium.


Untuk acara lain, hanya skrin LED di tron, ramp serta apron dan tiang gelanggang saja menjadi modal hiasan, menyebabkan nilai mahalnya sesuatu PPV itu tidak lagi terpapar kerana sama sahaja seperti yang ditonton saban minggu di acara Raw dan Smackdown.


Meletakkan individu yang kurang digemari WWE Universe sebagai juara juga adalah satu lagi eksperimen WWE yang kurang berjaya, khususnya untuk jenama Smackdown. Kononnya dengan mengangkat Jinder Mahal sebagai juara, jumlah langganan untuk WWE Network khususnya untuk pasaran negara India akan meningkat. Namun ternyata tiada peningkatan yang signifikan berlaku, malah langganan penonton dari Amerika Syarikat pula yang semakin merudum kerana meluat dengan apa yang dipertontonkan.


Jika dulu sebelum WWE Network diperkenalkan, setiap PPV mendapat keuntungan daripada langganan secara bayar dan tonton dengan nilai US$49 ke US$55 (lebih kurang) untuk hanya satu acara, bayangkan kini hanya US$9.99 untuk nilai langganan selama sebulan.

Bagi tayangan di Malaysia pula melalui Astro Box Office, kita perlu membayar RM19.90 untuk early bird, manakala RM24.90 untuk tempahan saat akhir. Berbanding saat inii, hanya RM10.90 (untuk pelanggan pakej sukan) dan RM15.90 bagi pelanggan biasa.

Budak tadika pun boleh membuat kira-kira bagaimana merudumnya nilai PPV pada hari ini menyebabkan WWE terpaksa melakukan pelbagai langkah berjimat cermat seperti tidak lagi menggunakan bunga api di acara mingguan dan bulanan mereka kecuali Wrestlemania.

Namun semua ini merupakan asam garam dalam perniagaan. Naik dan turun dalam angka yang dijana itu adalah perkara biasa. Pastinya WWE mempunyai pelbagai langkah strategik untuk memperbetulkan mana yang kurang dan berusaha untuk menarik perhatian WWE Universe agar kekal bersama WWE Network.

Kita pula sebagai peminat, suka atau pun tidak, pasti akan tetap menonton setiap acara PPV yang dihidangkan kerana inilah hiburan utama kita setiap bulan dan membuka peluang untuk kita memuji/mengeji setiap acara selepas selesai menonton serta dijadikan modal untuk bersembang dan bertelagah di laman sosial.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen