WWE secara rasminya telah melepaskan beberapa bintang mereka semalam iaitu bekas Juara Antara Benua WWE Luke Harper, penggusti sensasi bertopeng Sin Cara dan bekas Juara Beregu NXT The Ancension awal hari ini.

Harper atau nama sebenarnya Jonathan Huber, 39, sebelum ini dilaporkan telah beberapa kali memohon pelepasan daripada WWE sejak April lalu untuk berhijrah ke tempat lain.

Namun permohonannya tersebut beberapa kali tertunggak kerana dirinya telah berehat lama akibat kecederaan dan kontraknya telah dilanjutkan untuk menggantikan jumlah hari tidak bekerja sepanjang tempoh pemulihannya.

Bintang dengan ketinggian 6 kaki 7 inci ini mula mencuri tumpuan WWE Universe apabila menganggotai The Wyatt Family pada tahun 2012 bersama Bray Wyatt dan Erick Rowan.

Setelah pakatan keluarga ini berpisah, Harper beraksi secara solo buat seketika hingga berjaya memenangi Kejuaraan Antara Benua dan tidak lama kemudian rujuk semula bersama Rowan dengan membentuk pasukan The Bludgeon Brothers sekaligus bergelar Juara Beregu Smackdown pada tahun lepas.

Setelah lebih 6 bulan direhatkan, Harper membuat kejutan dengan muncul membantu Rowan yang ketika itu beraksi menentang Roman Reigns di acara WWE Clash Of Champions pada September lalu.

Malangnya gandingan semula ini tidak kekal lama apabila mereka dipisahkan susulan WWE Draft pada Oktober yang menyaksikan Rowan menjadi hakmilik eksklusif jenama Raw dan Harper kekal di Smackdown.

Memandangkan Harper mempunyai hubungan baik dengan beberapa promoter di luar WWE, tidak mustahil beliau tidak akan mempunyai masalah untuk beraksi di tempat lain terutamanya di All Elite Wrestling yang dikatakan telah lama mengintai Harper di WWE.



Situasi yang sama juga berlaku untuk bintang bertopeng Sin Cara. Walaupun masih mempunyai baki kontrak selama 3 tahun, bintang berusia 42 tahun dengan nama sebenarnya Jorge Arias ini telah meminta restu daripada WWE untuk dilepaskan lebih awal atas sebab-sebab peribadi.

Beberapa sumber mengatakan yang Sin Cara mempunyai hubungan rapat dengan bekas Juara WWE Alberto Del Rio dan berminat untuk menyertai rakan baiknya itu untuk beraksi di Combate Americas, sebuah organisasi seni bela campuran MMA milik syarikat tempatan Mexico.

Untuk rekod, Sin Cara hari ini berasal daripada karakter Sin Cara palsu yang berkonfrontasi dengan Sin Cara asal yang dibawa oleh Luis Ignacio Urive Alvirde atau lebih dikenali sebagai Mistico.

Namun oleh kerana faktor Mistico yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak perlawanan di WWE, beliau dilepaskan dan karakter Sin Cara diserahkan terus kepada Hunico yang terus kekal menjadi Sin Cara sehingga ke hari ini.



Setelah kali terakhir dilihat di program TV WWE pada awal tahun ini, pasangan Ryan Parmeter (Konnor) dan Eric Thompson (Viktor) atau lebih dikenali sebagai The Ancension turut dilepaskan secara rasmi oleh WWE.

Walaupun pernah menjadi pasukan beregu yang digeruni sehingga berjaya bergelar juara di NXT pada tahun 2013 sehingga 2014. Namun semuanya kelihatan tidak menjadi apabila mereka diserapkan ke roster utama tidak lama kemudian menyaksikan mereka lebih banyak terlibat dengan sengketa yang tiada arah tuju dan program-program komedi TV di WWE Network.

Semoga kesemua mereka akan memperoleh perjalanan karier yang lebih cemerlang walau di mana mereka beraksi selepas ini.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Tables, Ladders & Chairs (TLC) pada 16 Disember depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.