Luke Harper meninggal dunia

Oleh Hafiz Azwany Taher 27 Disember 2020 48155
Luke Harper meninggal dunia
Dunia gusti profesional hari ini bungkam dan bersedih apabila bekas Juara Antara Benua WWE, Jon Huber atau lebih dikenali sebagai Luke Harper dan Brodie Lee meninggal dunia pada usia 41 tahun.

Berita duka pemergian Huber ini dikongsikan oleh isterinya Amanda Huber. Menurut Amanda, Huber telah bergelut dengan masalah penyakit berkaitan paru-paru sejak beberapa bulan lalu, namun ia tiada kaitan dengan jangkitan Covid-19. Setelah menjalani rawatan di hospital, Huber menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi di samping keluarganya yang tercinta.

Pemergian Huber secara mengejut telah memberikan kesan kepada penggiat industri terutama rakan-rakan yang pernah bekerja bersama dengan bintang hebat ini. Antaranya seperti Stephanie McMahon, John Cena, Charlotte Flair, tidak ketinggalan bekas rakan rapatnya di dalam Wyatt Family, Braun Strowman dan Bray Wyatt.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Adam Scherr (@adamscherr99)


Huber mula menyertai gusti profesional seawal tahun 2003 dengan bergusti di beberapa organisasi gusti bebas seperti Dragon Gate USA, Chikara dan Ring Of Honor sebelum menyertai WWE di bawah jenama NXT pada tahun 2012. Dengan persona seperti seorang lelaki misteri, Harper menyertai Bray Wyatt dan Erick Rowan sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri di dalam Wyatt Family.
 


Sepanjang di WWE, Huber telah berjaya menjulang Kejuaraan Antara Benua dan Kejuaraan Beregu Smackdown bersama Rowan dalam pasukan The Bludgeon Brothers. Dalam usaha mencari pengalaman baharu, Huber dilepaskan WWE pada Disember tahun lalu dan muncul di AEW (All Elite Wrestling) sebagai Mr Brodie Lee, pemimpin kepada gagasan Dark Order.

Di bawah syarikat milik Tony Khan itu, Huber sempat bergelar Juara TNT dengan menewaskan Cody Rhodes selama 46 hari sebelum tewas kepada lawan yang sama pada 7 Oktober lalu. Sejak itu, tiada lagi kelibatnya di gelanggang gusti AEW, menyebabkan para peminat tertanya-tanya ke manakah dirinya menghilang.

Di sebalik watak yang menggerunkan di dalam gelanggang, Huber merupakan seorang suami dan bapa yang amat penyayang kepada isterinya Amanda serta dua orang anak lelakinya Brodie dan Nolan yang comel.

Kini, tiada lagi ciapan harian misteri daripadanya di Twitter, “It’s Sunday. You know what that means.”
 
Foto: WWE.com
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen