Kegembiraan menyambut tahun baharu 2019 terencat seketika buat peminat gusti profesional apabila pengulas dan juruhebah legenda WWE, “Mean” Gene Okerlund, diberitakan meninggal dunia pada usia 76 tahun, semalam.

Mean Gene atau nama sebenarnya Eugene Arthur Okerlund menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Florida, dipercayai akibat serangan jantung.

Juruhebah serba boleh itu memulakan kariernya di dalam industri gusti profesional dengan menjadi juruhebah gelanggang dan pewawancara di AWA (American Wrestling Association) pada tahun 1970. Beliau kemudian menyertai WWE pada tahun 1984 dengan menjadi juruacara dan pewawancara utama untuk program-program WWE seperti All American Wrestling dan Tuesday Night Titans.

Bukan sahaja mampu mengendalikan pelbagai temu bual hebat dengan bintang-bintang WWE, Mean Gene juga berbakat dalam seni suara sehingga diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu kebangsaan Amerika semasa acara pembukaan Wrestlemania yang pertama.

Mean Gene menyertai beberapa nama besar WWE dengan berhijrah ke WCW (World Championship Wrestling) pada tahun 1993 dan turut menggalas tugas sebagai pewawancara utama di syarikat pesaing WWE itu sehingga tahun 2001.

Kembali semula ke WWE pasca penutupan WCW pada tahun 2001, Mean Gene terlibat sebagai pengacara dalam banyak program WWE, termasuk untuk terbitan rangkaian WWE Network seperti WWE Vintage Collection, Legends House dan menyumbangkan suara untuk rancangan animasi WWE Story Time.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWERoyal Rumble pada 28 Januari depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.