Malam sambutan Krismas tahun ini menjadi lebih bererti buat pasangan Seth Rollins dan Jason Jordan apabila menerima hadiah paling berharga setelah berjaya menewaskan pasukan Penanda Aras The Bar (Sheamus & Cesaro ) di acara Raw semalam.

Kemenangan ini sekaligus menjadikan kedua pasangan yang digandingkan secara ‘bidan terjun’ oleh Pengurus Besar Raw, Kurt Angle ini sebagai Juara Regu Raw yang baharu, walaupun pada awalnya, keputusan untuk menggandingkan mereka kurang dipersetujui oleh The Architect.

Perbincangan belakang tabir antara Jordan dan Rollins yang keduanya berebut tempat untuk bersemuka dengan Samoa Joe di awal siaran diselesaikan apabila Angle memberikan solusi yang lebih baik untuk mereka berdua, iaitu bertemu dengan pasangan Sheamus dan Cesaro, dengan Kejuaraan Regu Raw menjadi taruhan.


Walaupun kelihatan seperti masih ada sikap saling mencurigai antara mereka, namun Jordan dan Rollins mudah bersefahaman apabila tampak saling bekerjasama sepanjang perlawanan. Serangan demi serangan oleh The Bar berjaya dikesampingkan walaupun terdapat sedikit kesilapan menyebabkan The Bar mendominasi hampir 70% perlawanan.

Di kala Jordan memberikan prioriti serangan di dalam gelanggang, Rollins pula bijak memasang helah dengan melakukan serangan hendap dari luar, memaksa Sheamus dan Cesaro hilang fokus. Jordan juga berjaya membuktikan keupayaannya sebagai antara penggusti teknikal terbaik era ini apabila mampu bertahan dengan beberapa gerakan submission iaitu kunci silang sharpshooter oleh Cesaro dan Texas Cloverleaf oleh Sheamus.


Cesaro yang tidak lama kemudian meluru masuk ke gelanggang disambut oleh satu gerakan pematah leher (neckbreaker) yang cantik oleh Jordan, membuatkan tiga kiraan pin oleh pengadil tidak dapat disambut, lantas menyebabkan pasukan The Bar kehilangan kejuaraan kepada Jordan dan Rollins.



Berikut merupakan reaksi Jordan dan Rollins atas kemenangan tersebut:

Nada berbeza pula daripada Cesaro yang menuduh Angle bersikap tidak adil dengan mengutamakan nepotisme iaitu berpihak kepada saudara sendiri dalam membuat keputusan.
Kemenangan ini sekaligus meletakkan Jordan dalam rekod tersendiri kerana menjadi bintang WWE pertama yang bergelar Juara Regu NXT, Smackdown dan Raw.
Jordan diletakkan sebagai calon gantian kepada Rollins susulan Dean Ambrose yang mengalami kecederaan siku minggu lalu dan terpaksa menjalani pembedahan segera bagi memperbaikinya. WWE.com melaporkan yang The Lunatic Fringe mungkin terpaksa berehat sehingga 9 bulan untuk pulih sepenuhnya.


Walaupun di sudut hati penulis merasakan yang Jordan masih hijau dan belum berapa layak untuk menggantikan tempat Ambrose, namun keupayaan yang ditunjukkan anak muda berusia 29 tahun ini tidak wajar dinafikan.

Biarpun penerimaan peminat kepadanya masih berbelah bahagi, namun dengan masa yang cukup, tidak mustahil beliau mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bintang utama Raw yang lain.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.