Teka-teki siapakah individu kelima yang akan menyertai pasukan Smackdown Live (SDL) dalam kempen Survivor Series terjawab apabila Pesuruhjaya SDL, Shane McMahon mengumumkan penyertaan John Cena dalam pasukan mereka.

Melalui catatan di Twitter, Shane memaklumkan yang Cena adalah bintang terakhir bagi menganggotai pasukan jenama biru di bawah pimpinannya bersama tiga lagi ayam tambatan SDL iaitu Randy Orton, Bobby Roode dan Shinsuke Nakamura.

Kelima-lima mereka akan berhadapan dengan pasukan Raw yang dikepalai Pengurus Besar jenama itu sendiri iaitu Kurt Angle. Pemenang pingat emas olimpik Atlanta 1996 itu akan dibantu oleh empat lagi bintang sandaran Raw iaitu Braun Strowman, Finn Balor. Samoa Joe dan ‘anak kandung’ Angle, Jason Jordan.



Pemilihan Cena pastinya adalah taruhan yang tepat oleh SDL kerana sebagai bekas Juara Dunia sebanyak 16 kali, Cena mempunyai kelebihan dan pengalaman yang cukup untuk membantu mempertahankan maruah SDL daripada dimalukan pasukan Raw. Dengan dibantu rakan seeranya iaitu Randy Orton, mereka pasti mampu berganding bahu bekerjasama dalam menyingkirkan satu-persatu anggota lawan, terutama ancaman daripada bintang gergasi Raw, Braun Strowman.

Cena kini boleh dianggap sebagai bintang separuh masa di WWE. Komitmen luarnya di Hollywood seperti pengacaraan dan lakonan menyebabkan bintang berusia 40 tahun ini tidak lagi seaktif seperti sebelum ini. Dengan jadual yang padat, kemunculan Cena di gelanggang WWE hanya akan menjadi sekali-sekala sahaja dan acara besar seperti Survivor Series pada 20 November ini adalah antara medan untuk Cena terus menggilap kemahiran bergustinya agar tidak berkarat.



Sebelum ini, terdapat laporan yang menyebut bahawa Cena akan berperanan sebagai pengadil jemputan untuk perlawanan juara lawan juara antara Brock Lesnar dengan Jinder Mahal. Namun oleh kerana situasi telah berubah, Cena diberi peranan baharu dan ia pasti akan memberi impak yang positif kepada pasukan SDL dalam mempertahankan rekod kemenangan mereka ke atas Raw sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas tentang kemasukan Cena ini, Rusev yang merupakan calon awal untuk mengisi kekosongan dalam pasukan ini, secara sinis mengucapkan tahniah kepada Cena.


Rusev yang sepatutnya menentang AJ Styles di acara Smackdown Live minggu ini, kempunan untuk menyertai pasukan jenamanya itu apabila AJ Styles diberikan peluang untuk merampas Kejuaraan WWE daripada Jinder Mahal, dan Rusev perlu berhadapan dengan Randy Orton bagi melayakkan dirinya.

Sayang sekali, Rusev gagal dalam misi tersebut walaupun pada awalnya mendapat nyanyian penuh semangat daripada sekutunya, Aiden English.

Bercakap tentang AJ Styles, bintang sensasi ini sekali lagi membuat kejutan apabila berjaya merampas Kejuaraan WWE daripada Jinder Mahal, semalam.



Kemenangan ini sekaligus menobatkan AJ sebagai Juara WWE sebanyak 2 kali, di mana sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya kejuaraan bertukar tangan di luar Amerika Syarikat kerana acara Smackdown minggu ini bersiaran dari Kota Manchester, United Kingdom.

Walaupun terdapat gangguan daripada Singh Brothers, namun AJ bijak apabila membelasah kedua khadam Maharaja tersebut, dan menggagalkan usaha Jinder yang ingin melakukan bantingan Khallas dari tali paling atas gelanggang.



Dengan satu tumbukan layang Phenomenal Forearm, AJ berjaya melunaskan tiga kiraan pin ke atas Jinder, seterusnya menamatkan empayar Maharaja Moden yang telah enam bulan bertakthta di puncak Smackdown.

Berikut merupakan komen daripada AJ susulan kemenangan bergayanya itu:




Bagi Jinder pula, kekalahan semalam adalah membuktikan AJ lebih baik daripada dirinya. Namun yang pasti, beliau akan bangkit semula bagi merampas kembali seterusnya merampas kembali mahkota kejuaraan yang disayanginya itu.


Jinder turut menafikan yang kekalahan ini adalah disebabkan beliau sedang cedera atau melanggar polisi kesihatan anti dadah WWE. Ujarnya, lemparkanlah segala fitnah dan cerca. Ia tidak akan memberi sebarang kesan dan hanya akan terus memotivasikannya.

To @ajstylesp1, you were the better man for one night. Six months I held the #WWEChamoionship, defended it countless times, all over the world. I will one day raise the title again. To my haters and wrestling "insiders", this was NOT an experiment, I am NOT injured, I have NOT violated the wellness policy. So keep throwing shade my way , it only motivates me.

A post shared by The Maharaja (@jindermahal) on



Cabaran lebih getir menanti AJ selepas ini. Jinder sepatutnya berterima kasih kepada AJ kerana di acara Survivor Series nanti, AJ yang akan membawa nama SDL sebagai Juara WWE bagi mendepani Juara Universal WWE, Brock Lesnar.



Pertemuan ini pastinya lebih mengujakan kerana AJ lebih tangkas dan pantas berbanding Jinder bagi menangani cabaran Kota Suplex daripada Lesnar. Biarpun secara atas kertasnya, tubuh AJ lebih kecil berbanding Lesnar dan nampak mudah untuk dilambung-lambung, namun sudah tentu AJ yang juga merupakan bekas Juara Heavyweight Dunia IWGP di Jepun, mempunyai strategi ampuh bagi mematahkan serangan demi serangan daripada The Beast yang juga pernah memenangi kejuaraan yang sama sebelum menyertai UFC beberapa tahun lalu.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan acara WWE Survivor Series pada 20 November ini dan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go dan On Demand.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.