Chris Jericho perjelas mengapa beliau sertai NJPW; AJ-Nakamura beri bayangan perlawanan di Wrestlemania

Oleh Hafiz Azwany Taher 14 November 2017 3056
Chris Jericho perjelas mengapa beliau sertai NJPW; AJ-Nakamura beri bayangan perlawanan di Wrestlemania
Bekas Juara Heavyweight Dunia sebanyak 6 kali, Chris Jericho yang mengejutkan dunia gusti profesional apabila mengumumkan akan bertemu dengan Kenny Omega di acara Wrestle Kingdom 12 pada Januari depan, tampil memberi penjelasan dan sebab mengapa beliau mengambil keputusan tersebut.

“Saya suka melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Saya rasa saya berada dalam situasi yang unik di mana saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan WWE. Yang mana saya satu-satunya individu yang tidak begitu terikat dengan mereka. Namun suka saya tegaskan di sini yang walaupun saya masih menghormati WWE kerana ia masih syarikat tempat saya bekerja dan tempat saya berasa, saya tidak pernah dikongkong oleh mereka.

Jika saya mahu ke New Japan Pro Wrestling (NJPW) untuk bergusti di Tokyo Dome dan dalam masa yang sama juga bekerjasama dengan Ring Of Honor (ROH), ia tidak menjadi masalah. Kerana di akhirnya, apabila saya kembali semula ke WWE, ia akan menjadikan saya bintang yang lebih besar,” ujarnya ketika ditemubual dengan Busted Open Radio baru-baru ini.



Bintang berusia 47 tahun yang juga vokalis kugiran rock Fozzy ini juga turut membandingkan dirinya dengan Brock Lesnar dan beberapa bintang lagenda terdahulu yang secara rutin kerap mencabar dan bergusti dengan penggusti dari syarikat lain. Beliau turut mengakui yang dirinya menggemari NJPW dan ROH kerana memberikan alternative kepada peminat gusti.

“Saya tak katakan yang saya meniru apa yang dilakukan Brock Lesnar, namun ia adalah suatu kelaziman sejak dahulu lagi. Sama seperti yang dibuat oleh Hulk Hogan, Ric Flair, Nick Bockwinkel dan ramai lagi penggusti di era 80an. Mereka pergi bergusti di Jepun kerana ia membawa makna yang cukup besar.

Saya pergi bukan sebagai Juara Dunia. Namun untuk seseorang yang bernama Chris Jericho pergi ke sana akan membuatkan banyak pihak termasuk pengurusan WWE sendiri akan menghargainya kerana ia akan memberikan impak positif yang lebih baik kepada industri.

Yang bagusnya tentang New Japan dan Ring Of Honor ini adalah ia ibarat satu cabang lagi dalam sukan ini dan menunjukkan bukan hanya WWE sahaja yang ada. Saya rasa mereka yang berada di pejabat WWE akan menjadi golongan pertama yang menghargai langkah yang saya lakukan ini kerana ia akan menjadikan persaingan semakin sihat. Bukan sahaja untuk barisan penggusti sedia ada, malah juga kepada para peminat. Ia sekaligus akan memberikan lonjakan yang lebih bagi pasukan kreatif untuk bekerja dengan lebih keras.”



Umum mengetahui yang buat masa ini, WWE merupakan gergasi dalam sukan gusti profesional tanpa saingan yang benar-benar mampu menggugat mereka. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, empayar dari Jepun melalui NJPW mula menarik perhatian peminat gusti untuk mengikuti mereka yang tampil dengan identiti dan corak perlawanan yang agak berbeza daripada apa yang dipertontonkan WWE selama ini.

Dari Jepun, NJPW maju setapak lagi apabila melebarkan lagi sayap perniagaan mereka melalui pengenalan New Japan Global dengan mengadakan acara mereka di luar Jepun termasuk di Amerika Syarikat. Kenny Omega yang bakal menjadi lawan Jericho di acara Wrestle Kingdom nanti, juga merupakan Juara Amerika Syarikat NJPW dan ia pasti memberikan kegusaran kepada Vince McMahon yang selama ini selesa sila panggung di pejabatnya tanpa pesaing yang kuat.



Untuk rekod, kontrak Jericho bersama WWE telah pun tamat sejak Julai lalu dan ini memberikan ruang kepadanya untuk mencari nafas baharu dengan bergusti di syarikat lain. Penyertaannya di acara Wrestle Kingdom kelak hanya merupakan kontrak singkat dan Vince McMahon pasti berlapang dada untuk menerima Y2J kembali ke pangkuannya selepas itu.

Pertemuan epik AJ-Nakamura akan jadi kenyataan?



Dua bintang terhangat Smackdown Live, Juara WWE AJ Styles dan Shinsuke Nakamura membuatkan para penonton acara WWE Live di Florence, Itali menjerit kegirangan apabila membayangkan bahawa mereka berdua akan berentap di acara Wrestlemania tahun hadapan.
 


Semuanya bermula apabila para penonton memberi sorakan ‘Wrestlemania’ kepada kedua mereka semasa acara jelajah Eropah yang berlangsung minggu lalu. AJ seakan mengiyakan sorakan tersebut dan meletakkan bengkung Kejuaraan WWE di atas lantai gelanggang dan mengatakan bahawa perlawanan dengan Nakamura di Wrestlemania akan menjadi ‘too sweet’, sebagai meraikan slogan Bullet Club yang pernah dikepalainya semasa di New Japan beberapa tahun lalu.

Kedua mereka pernah menggegar pentas acara Wrestle Kingdom edisi ke 10 pada dua tahun lalu sebelum keduanya menyertai WWE tidak lama kemudian. Dianggap sebagai antara perlawanan terbaik di NJPW, para peminat pastinya ingin menyaksikan pertembungan epik itu kembali berlaku di pentas terbesar WWE iaitu Wrestlemania pada tahun hadapan.



Dengan keduanya kini berada dalam jenama Smackdown Live yang sama, tidak mustahil untuk perlawanan ini menjadi kenyataan. Dengan karier Nakamura yang masih agak kelam sejak menyertai roster utama pada pertengahan tahun ini, pertemuan dengan AJ pasti akan membuka mata para peminat kembali tentang kemampuannya mencipta sebuah perlawanan menarik dengan AJ Styles pula yang menjadi sparring partner nya.

Kepada yang terlepas untuk menyaksikan perlawanan bersejarah antara AJ dan Nakamura  di Wrestle Kingdom 10, anda boleh saksikan melalui video di bawah:

 
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View termasuk WWE Survivor Series pada 19 November ini secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen