Chris Jericho jadi tetamu undangan Stone Cold Steve Austin

Oleh Hafiz Azwany Taher 3 April 2021 61
Chris Jericho jadi tetamu undangan Stone Cold Steve Austin

Siri bual bicara eksklusif di WWE Network kelolaan bintang legenda Stone Cold Steve Austin bakal menampilkan kejutan apabila bekas juara dunia Chris Jericho akan muncul sebagai tetamu dan akan duduk semeja dengan Austin.

Apa yang mengejutkan, Jericho bukanlah bintang di bawah kontrak WWE sejak tahun 2018. Sebaliknya kini bergelar bintang utama di syarikat pesaing utama WWE ketika ini iaitu AEW (All Elite Wrestling). Ia merupakan sesuatu yang menarik kerana buat pertama kalinya bintang luar WWE ditampilkan dalam rancangan terbitan WWE tersebut.

Bercakap kepada Sports Illustrated, Austin mendedahkan bagaimana idea untuk menampilkan Y2J ini timbul. Menurutnya, Jericho telah menghubunginya tahun lalu selepas menonton sesi Broken Skull Session bersama The Undertaker dan memberikan pujian kepada The Deadman. Tidak lama selepas itu, Austin pula mempelawa Jericho sebagai tetamu undangan dan Jericho sendiri berbesar hati menerima undangan tersebut, asalkan mendapat restu daripada bos besar WWE, Vince McMahon.

Tambah Austin lagi, beliau telah menghantar pesanan ringkas kepada Vince menyatakan idea itu dan Vince memberikan lampu hijau untuk Jericho muncul dalam rancangan tersebut. Bagi mengesahkan yang Vince benar-benar serius tentangnya, dua kali Austin menghantar teks pesanan suara itu dan kedua-duanya disahkan oleh Vince.

“Silakan, bawa Chris ke dalam rancangan ini,” ujar Vince sambil menunjukkan isyarat bagus.

Siaran Broken Skull Session bersama Chris Jericho dijangka akan ditayangkan pasca acara Wrestlemania pada 11 dan 12 April ini. Dan kini terdapat spekulasi yang mengatakan kemungkinan Chris Jericho akan dimasyhurkan sebagai bintang Hall Of Fame WWE bagi edisi 2021 bersama Kane, Molly Holly, Rob Van Dam dan ramai lagi.

Biar pun kini Jericho sedang beraksi di AEW bersama pakatan Inner Circle-nya, umum mengetahui yang hubungan Jericho dan Vince McMahon masih lagi baik dan tiada sebarang masalah di antara mereka. Sumbangan Jericho kepada WWE sejak kemunculan sulungnya di syarikat tersebut pada Ogos tahun 1999 memang tidak dapat dinafikan dalam mempersembahkan aksi yang padu setiap kali di dalam gelanggang sehingga melayakkan dirinya menjadi Juara Undisputed pertama di WWE. Tidak dilupakan, jasa Y2J yang selama ini sering memberikan ruang dan peluang buat bintang-bintang muda untuk menyinar, sepanjang hampir tiga dekad membanting tulang dan memerah keringat di dalam industri ini.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara Wrestlemania 37 pada 11 dan 12 April ini serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen