Sejak beberapa minggu lalu, dua jaguh kelahiran Kanada saling berbalas hujah di Twitter tentang siapa yang lebih hebat antara mereka.

Seorang, merupakan bintang indie antarabangsa sensasi yang menjadi pujaan komuniti gusti internet, Kenny Omega. Manakala seorang lagi merupakan jaguh lagenda yang telah beberapa bergelar Juara Dunia di WWE. Siapa lagi kalau bukan Chris Jericho.



Siapa sangka, ia merupakan sebuah build up untuk sebuah pertemuan bersejarah antara dua penggusti berlainan organisasi. Chris Jericho secara rasminya telah diumumkan akan menyertai temasya gusti tahunan terbesar New Japan Pro Wrestling (NJPW), Wrestle Kingdom 12 pada 4 Januari depan.

Pengumuman mega ini telah diumumkan sendiri oleh NJPW melalui catatan di Twitter mereka, menyebabkan para peminat mengalami keterujaan untuk menyaksikan Y2J beraksi di gelanggang NJPW buat julung-julung kalinya.

Kemuncak perang alam maya antara Omega dan Jericho berlaku di acara Power Struggle semalam. Setelah berjaya menewaskan Trent Baretta seterusnya mempertahankan Kejuaraan Amerika Syarikat IWGP, Omega dikejutkan oleh video promo Chris Jericho yang mencabarnya untuk kejuaraan tersebut. Dan Omega tanpa menunggu lama terus bersetuju untuk menyahut cabaran daripada bekas Juara Antara Benua WWE sebanyak 9 kali itu.


Perlawanan yang bakal mengambil tempat di Tokyo Dome ini nanti amat menarik kerana umum mengetahui yang Chris Jericho masih berada di bawah kontrak WWE. Umum sedia maklum yang kebiasaannya, WWE tidak membenarkan bintangnya untuk beraksi untuk syarikat lain atas kapasiti apa sekalipun.

Namun mungkin ada pengecualian untuk Y2J yang kini bergusti di bawah kontrak lagenda, maka beliau berani untuk menyertai acara terbesar NJPW ini yang buat masa ini boleh dianggap sebagai pesaing terdekat WWE. Jika ditakdirkan Vince McMahon marah dan memecatnya, ia juga bukan masalah buat Jericho kerana tiada apa lagi yang ingin beliau kejar di WWE.

Ryan Satin dari Pro Wrestling Sheet juga melaporkan yang Jericho telah bertemu dengan pegawai WWE termasuk Triple H sendiri untuk memohon restu dan membawa beberapa bintang NXT ke acara gilang gemilang ini nanti. Namun cadangan tersebut telah ditolak kerana prinsip WWE yang tidak mudah untuk bekerjasama dengan pihak lain tanpa sebab yang signifikan.


Perbincangan antara Jericho dengan NJPW ini turut dilaporkan telah berjalan sejak Ogos lalu di mana pada akhirnya, kedua pihak bersepakat untuk bekerjasama bagi menghangatkan lagi perayaan di Wrestle Kingdom edisi ke 12 ini.

Jericho, 46, yang kali terakhir muncul di siaran Smackdown Live pada Julai lalu, dijangka akan terus bercuti panjang bagi membuat persediaan bagi perlawanan ini. Untuk rekod, Jericho tidak pernah bergusti untuk mana-mana organisasi selain WWE sejak tahun 1999, selepas berhijrah dari World Championship Wrestling (WCW) pada tahun yang sama.

Namun gusti di Jepun bukanlah asing buat Jericho. Sebelum mencipta nama di WCW dan WCW sebelum ke WWE, beliau telah beberapa tahun bergusti di negara matahari terbit itu bersama rakan-rakan seperjuangannya seperti mendiang Chris Benoit dan Eddie Guererro.





Walau apapun implikasi perlawanan ini, diharap ia akan menjadi sebuah permulaan yang baik untuk semua pihak dalam subjek bekerjasama antara satu sama lain. Usaha berani daripada Jericho ini wajar dipuji kerana ia secara tidak langsung mampu memberikan keuntungan kepada semua yang terlibat dan mengenepikan sedikit sebanyak ego WWE yang kini selesa mendabik dada sebagai gergasi sukan gusti profesional.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.