Pasangan Sasha Banks dan Bayley mengecap detik manis apabila berjaya memenangi Kejuaraan Beregu Wanita WWE di acara WWE Elimination Chamber edisi 2019 pagi tadi.

Biarpun menjadi peserta pertama untuk memulakan perlawanan dalam kamar besi penuh azab tersebut, kerjasama erat dan persefahaman di antara dua sahabat baik ini berjaya mengenepikan cabaran daripada Fabulous Glow (Naomi & Carmella), Riott Squad (Liv Morgan & Sarah Logan), The IIconics (Peyton Royce & Billie Kay), Divas of Doom (Nia Jax & Tamina) dan Fire and Desire (Mandy Rose & Sonya Deville).

Nia Jax dan Tamina yang menjadi peserta pilihan untuk memenangi perlawanan ini tidak bernasib baik apabila Nia yang cuba menyondol Bayley di sudut gelanggang, terperosok melanggar cermin kamar dan peluang ini diambil oleh semua peserta yang tinggal dengan menyerang Tamina yang tinggal keseorangan.

Kunci Bank Statement oleh The Boss berjaya memerangkap Sonya yang akhirnya terpaksa mengalah. Kemenangan mutlak berjaya diperoleh Sasha dan Bayley yang kini mencipta sejarah sebagai Juara Beregu Wanita pertama WWE dan melakar evolusi baharu dalam divisyen wanita di WWE.

Untuk rekod, kali terakhir Kejuaraan Beregu Wanita dipertandingkan adalah pada 14 Februari 1989 dengan bengkung kejuaraannya disandang oleh pasangan The Glamour Girls (Leilani Kai & Judy Martin). Ia kemudiannya tidak lagi diteruskan kerana kekurangan bilangan penggusti wanita ketika itu.



Dalam perlawanan lain, Kofi Kingston nyaris menamatkan dominasi Daniel Bryan dalam satu lagi perlawanan Elimination Chamber. Meneruskan momentum cemerlang ketika beraksi lebih dari satu jam dalam perlawanan berangkai (gauntlet) di acara WWE Smackdown minggu ini, bekas Juara Antara Benua dan Beregu WWE ini mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada seluruh peminat yang membanjiri arena Toyota Centre, Houston.

Setelah berjaya menyingkirkan empat lagi lawan yang tidak kurang hebatnya iaitu Jeff Hardy, Randy Orton, AJ Styles dan Samoa Joe, para penonton mula tidak senang duduk dan mengharapkan sejarah tercipta untuk melihat Kofi Kingston menjadi bintang Afrika-Amerika pertama bergelar Juara WWE.
Namun sang juara Daniel Bryan masih bernasib baik kerana beberapa kali berjaya mengunci ahli The New Day itu dan menyudahkan tugasannya dengan satu running knee tepat ke muka Kofi.

Biarpun tewas, para peminat tidak henti-henti bersorak nama Kofi Kingston dan tidak mustahil, sengketa di antara Daniel Bryan Baharu dengan Kofi akan bersambung lagi selepas ini dalam perjalanan menuju ke Wrestlemania.

Keputusan lain:
1. The Usos rampas Kejuaraan Beregu Smackdown daripada The Miz & Shane McMahon
2. Bobby Lashley terlepas Kejuaraan Antara Benua kepada Finn Balor apabila Pengasas Balor Club itu berjaya menindan Lio Rush dalam perlawanan 2 lawan 1
3. Ruby Riott tewas mudah kepada Juara Wanita Raw Ronda Rousey
4. Braun Strowman tumbang kepada Baron Corbin hasil bantuan Drew McIntyre dan Bobby Lashley dalam perlawanan tanpa pembatalan DQ.
5. Akira Tozawa gagal rampas Kejuaraan Cruiserweight WWE daripada Buddy Murphy

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Fastlane pada 11 Mac depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.