Beri nafas baharu, WWE lancar Thunderdome

Oleh Hafiz Azwany Taher 18 Ogos 2020 790
Beri nafas baharu, WWE lancar Thunderdome
Seluruh WWE Universe akan memperoleh pengalaman menonton acara WWE dengan lebih segar dan menarik apabila WWE melancarkan program yang diberi nama Thunderdome bermula hujung minggu ini.

Bakal menampilkan set baharu, termasuk paparan video, pancaran bunga api, laser, grafik serta perspektif dari pelbagai sudut menggunakan kamera drone, WWE Universe akan merasai pengalaman baharu apabila WWE akan berpindah ke Amway Centre di Florida yang merupakan sebuah arena yang mampu memuatkan sehingga 18,000 penonton pada satu-satu masa.

Namun, dengan pandemik Covid-19 yang masih bermaharajalela di Amerika Syarikat waktu ini, mustahil untuk para penonton untuk datang ke arena tersebut kerana perintah kawalan pergerakan yang masih berkuatkuasa. Justeru, WWE akan memaparkan penonton secara maya bagi menghangatkan arena, seolah-olah mereka benar-benar berada di situ seterusnya memberi sorakan kepada bintang WWE yang sedang beraksi di dalam gelanggang.

Menurut Naib Presiden Eksekutif bagi Penerbitan TV WWE, Kevin Dunn, lebih daripada 1,000 papan LED akan dipasang dengan memaparkan para penonton yang menyaksikan acara secara langsung.

Berbeza dengan apa yang dipersembahkan oleh NBA (National Basketball Association) yang juga menggunakan konsep tontonan secara maya ini, papan LED yang akan digunakan kelak akan disusun seperti mana susunan tempat duduk penonton, bagi memberikan atmosfera dan kemeriahan yang sama sepertimana setiap acara WWE sebelum pandemik Covid-19.

Bermula hari ini, para WWE Universe yang ingin tampil sebagai penonton maya di setiap acara di Thunderdome ini boleh membuat pendaftaran di www.WWEThunderDome.com atau laman-laman sosial WWE seperti Facebook, Instagram dan Twitter.



WWE Thunderdome akan memulakan siaran sulungnya melalui acara WWE Smackdown pada Sabtu ini, diikuti WWE NXT Takeover XXX pada Ahad dan WWE Summerslam pada pagi Isnin.

Kesemua acara mingguan WWE seperti Raw, NXT dan Smackdown juga akan bersiaran di sana dan tidak lagi bersiaran di WWE Performance Centre.
 
(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara NXT Takeover XXX pada 23 Ogos dan WWE Summerslam pada 24 Ogos serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen