Kejutan berlaku di acara Raw minggu ini apabila Juara Wanita Raw Becky Lynch melepaskan kejuaraan yang telah disandangnya sejak lebih setahun lalu.

Terdahulu, bintang kelahiran Ireland berusia 33 tahun itu muncul bagi membuat sebuah pengumuman. Bersamanya di tengah gelanggang adalah beg bimbit MITB (Money In The Bank) yang dimenangi oleh Asuka di acara WWE Money In The Bank semalam. Tanpa menunggu lama, Asuka dengan wajah penuh curiga keluar mendepani The Man bagi mengetahui mengapa beg bimbit miliknya berada di situ.

Namun, situasi berubah 360 darjah apabila Becky menyatakan bahawa beg MITB yang dipertaruhkan semalam bukan sekadar mengandungi kontrak untuk mencabar mana-mana kejuaraan utama. Malah ia rupanya mengandungi bengkung Kejuaraan Wanita Raw milik Becky. Tanpa disangka, Becky mengumumkan yang Asuka kini adalah juara baharu dan ia disambut penuh kegirangan oleh bintang berusia 38 tahun itu.

Apa yang lebih mengejutkan, Becky mengumumkan pengundurannya kerana dirinya bakal menjadi seorang ibu tidak lama lagi dan akan berehat buat beberapa ketika sehingga proses kelahiran anaknya selesai kelak. Daripada perasaan curiga dan dendam, berita tersebut disambut penuh gembira oleh Asuka selajur merangkul rakan pesaingnya itu sebagai tanda ucapan tahniah.

Untuk rekod, Becky telah mengumumkan pertunangannya dengan bekas Juara WWE Seth Rollins pada Ogos tahun lalu dan kelihatannya kini hubungan mereka semakin serius dan telah melangkah ke peringkat seterusnya dengan kehadiran cahaya mata yang bakal lahir kelak.

Dengan penyerahan kejuaraan ini, ia sekaligus mencipta rekod baharu buat Asuka sebagai Juara Grand Slam wanita terulung di WWE. Beliau kini telah menggondol semua kejuaraan wanita yang dipertandingkan di WWE iaitu Kejuaraan Wanita Raw, Smackdown, NXT, pemenang Money In The Bank, pemenang Royal Rumble, juara pertama kejohanan regu campuran serta Kejuaraan Beregu Wanita WWE bersama Kairi Sane. Tidak terkecuali rekod tanpa kalahnya iaitu 250 perlawanan selama 914 hari, menjadikan bintang kelahiran negara matahari terbit ini sebagai antara yang paling dominan dalam sejarah WWE.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Backlash pada 15 Jun depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.