Rozaimi Abdul Rahman mahu kembali ke pangkuan skuad negara selepas lima tahun menyepi di pentas antarabangsa.

Walaupun bekas penggempur kebangsaan itu masih dalam fasa pemulihan selepas ditimpa kemalangan kereta, Johor Darul Ta'zim (JDT) II memberinya ruang untuknya melanjutkan karier yang berdepan situasi tidak menentu ketika itu.

Pemain dari Negeri Di Bawah Bayu itu sedang mempertimbangkan empat pasukan Liga Super, termasuk pasukan negeri kelahirannya musim depan.

"Pasukan yang akan disertai saya itu mestilah mampu membantu saya mencari prestasi sebenar.

"Selain mahu mendapatkan minit permainan, saya berharap dapat membantu mereka pergi lebih jauh," katanya ketika dihubungi Astro Arena hari ini.

Apa yang penting, keutamaan Rozaimi tertumpu kepada minit permainan demi memastikan kelibatnya kembali mendapat perhatian jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Pemain berusia 28 tahun itu masih memiliki tempoh masa yang relevan untuk membuat kemunculan semula.

"Sudah lama saya tidak beraksi di peringkat antarabangsa, terpulang kepada jurulatih untuk menilainya.

"Tetapi saya perlu bermain dalam Liga Super barulah saya layak beraksi untuk pasukan kebangsaan. Itulah niat saya."