Wimbledon akan dibatalkan kerana wabak koronavirus baru (Covid-19), kata Naib Presiden Persekutuan Tenis Persekutuan (DTB), Dirk Hordorff.

Pertandingan Grand Slam itu akan berlangsung di London pada 29 Jun depan tetapi kemungkinan tidak dapat diadakan buat kali pertama sejak 1945 -- terjejas akibat Perang Dunia Kedua.

Keputusan mengenai kejohanan itu dijangka akan diumumkan beberapa minggu akan datang dan Hordorff menjagakan acara berkenaan akan dibatalkan.

"Wimbledon telah menyatakan bahawa mereka akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan dan akan membuat keputusan akhir di sana," katanya kepada Sky Sport semalam.



"Saya juga terlibat dalam badan-badan Persatuan Tenis Profesional (ATP) dan Persatuan Tenis Wanita (WTA), keputusannya telah pun dicapai dan Wimbledon akan diumum dibatalkan Rabu depan, ia tidak syak lagi.

"Adalah benar-benar tidak realistik untuk membayangkan bahawa dalam keadaan sekatan perjalanan ketika ini, kita akan menganjurkan kejohanan tenis antarabangsa yang akan mengundang beratus-ratus ribu orang dari seluruh dunia ini untuk mengembara. Ia sesuatu yang tidak dapat difikirkan."

Terbuka Perancis, yang sepatutnya bermula Mei depan, telah ditangguhkan hingga akhir tahun ini manakala sambungan kancah Jelajah ATP dan WTA pula masih samar.

Hordorff berkata adalah sukar untuk membatalkan Wimbledon sambil memaklumkan kesan kewangan ekoran pembatalan itu sepatutnya tidak dirasai.