Kejayaan menjuarai Terbuka Amerika Syarikat tahun ini meyakinkan Stan Wawrinka bahawa dia masih mampu bersaing di tahap tertinggi dan berharap mampu meneruskan momentum itu memasuki tahun 2017.

Musim 2016 Wawrinka berakhir pada Jumaat apabila dia tewas di tangan Andy Murray, sekaligus menamatkan peluang wakil Switzerland itu untuk melepasi peringkat kumpulan dalamJelajah Dunia ATP.

Bagaimanapun, Wawrinka melihat musim 2016 berakhir dengan cukup positif, apatah lagi menjuarai trofi grand slam ketiganya di Flushing Meadows, September lalu.

Sebelum kejuaraan tersebut, Wawrinka mengakui dia mula mempersoalkan kemampuannya musim ini.

"Saya akan mencecah usia 32 tahun pada musim depan, jadi ada beberapa perkara yang perlu saya menitikberatkan," jelasnya.

"Saya mahu memperbaiki permainan saya dan cuba berada di tahap terbaik. Saya berharap saya masih mampu kekal dalam keadaan terbaik musim depan.

"Tahun ini juga saya sedar pergerakan saya mula menjadi perlahan tetapi saya masih mampu menjuarai grand slam.

"Saya akan melakukan yang terdaya dalam tempoh rehat ini untuk kembali lebih kuat musim depan."