Novak Djokovic menggambarkan kemenangannya seperti sukar dipercayai sambil dia bersimpati dengan Roger Federer selepas berentap dalam final paling panjang dalam Grand Slam Terbuka Wimbledon.

Pertembungan epik selama empat jam dan 57 minit itu akhirnya dimuktamadkan Djokovic 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3) untuk merapatkan jurang pencapaian dengan lawannya itu apabila menjulang kejuaraan kelima dalam misinya mempertahankan gelaran di Kelab Seluruh England selain menafikan hajat Federer untuk muncul sebagai juara grand slam tertua dalam sejarah.

Tidak hairanlah selepas kejayaan yang melelahkan itu, pemain nombor satu dunia tersebut, yang menyelamatkan dua mata akhir perlawanan, amat mengagumi Federer.

"Saya fikir ini bukan sekadar perlawanan akhir yang paling menarik yang pernah saya hadapi, ia antara dua atau tiga final terbaik dalam karier saya," katanya.

"Malah, saya berdepan salah seorang pemain terulung sepanjang zaman, Roger, yang merupakan seorang yang amat saya hormati.

"Malangnya, dalam perlawanan seperti ini, salah seorang perlu kalah. Kami berdua mempunyai peluang masing-masing dan sukar dipercayai apabila berdepan dua mata akhir lawan tetapi saya dapat bangkit.

"Agak pelik untuk beraksi dalam 'tie break' ketika mata 12-12 dan saya memang mengharapkan selepas memenangi dua 'game' awal."

Federer mungkin gagal melakar sejarah, namun Djokovic, yang kini memiliki koleksi 16 kejuaraan utama berbanding 20 oleh pesaingnya, menaruh harapan untuk menyamai pencapaian itu.

"Roger berharap dapat membuatkan orang lain percaya bahawa mereka masih boleh melakukannya pada usia 37 tahun, jadi saya mahu jadi salah seorang daripada mereka," kata pemain Serbia itu.

"Sudah tentu dia memberi inspirasi kepada saya."