Sebelas tahun dalam pertemuan klasik terakhir di antara mereka dalam Kejohanan Grand Slam Wimbledon, Roger Federer dan Rafael Nadal, mengisytiharkan "kami masih di sini" apabila bersedia untuk berentap buat kali ke-40.

Perseteruan di antara dua pemain terbaik sepanjang zaman itu tidak perlu diingatkan lagi menjelang pertemuan separuh akhir hari ini (10 malam waktu Malaysia).

Dengan 38 gelaran grand slam di antara mereka, Federer dan Nadal telah melalui segala rintangan dan membuktikan bahawa kemampuan mereka masih mantap.

Duo legenda itu hanya boleh bermimpi tentang apa yang akan mereka capai ketika memulakan perseteruan di Miami pada 2004.

Selepas 15 tahun, Centre Court yang menjadi medan pertarungan akan sesak dan berjuta-juta peminat di seluruh dunia akan menyaksikan pertembungan mereka untuk satu lagi episod yang menjadi bualan ramai.

Nadal memenangi perlawanan akhir epik 2008 dengan keputusan 6-4, 6-4, 6-7 (5-7), 6-7 (8-10), 9-7 ketika kali terakhir mereka menghadapi satu sama lain di atas gelanggang rumput di SW19 itu selain unggul ketika melolosi separuh akhir sebelum memastikan gelaran Terbuka Perancis ke-12, bulan lalu.

Pemain Sepanyol itu menjangkakan satu lagi pertarungan yang hebat dengan musuh lamanya itu yang merangkul kejuaraan ke-100 di All England Club biarpun lawannya ditentang hebat Kei Nishikori.

"Saya akan menentang mungkin seorang pemain terbaik dalam sejarah gelanggang ini dan saya sedar perlu mempamerkan aksi terbaik jika mahu mencipta peluang untuk cuba mara ke perlawanan akhir," kata Nadal, 33.

"Saya mengalami banyak kekalahan (kepada Federer), saya juga mencipta banyak kemenangan. Hubungan kami tidak pernah berubah, kami saling menghormati dan menjalin persahabatan yang baik. Itu semua tidak mungkin berubah jika saya menang atau kalah.

"Saya teruja dengan perlawanan ini, teruja dengan peluang ini untuk sekali lagi menentangnya dalam pusingan ini. Kesempatan untuk kami bertarung semakin terhad tetapi kami masih di sini."

Kedua-dua pemain itu saling berbalas penghargaan apabila tiba giliran Federer bercakap tentang cabaran yang dihadapinya.

Dia berkata: "Rafa telah bertambah baik sejak bertahun-tahun di permukaan ini, permainannya sangat berbeza daripada kebiasaannya. Sudah lama kami tidak bersemuka di permukaan ini.

"Servisnya kini berbeza. Saya ingat lagi cara servisnya tetapi sekarang ini, ia lebih kencang dan betapa pantasnya dia meraih mata.

"Ia sesuatu yang mengagumkan untuk melihatnya dalam keadaan sihat. Kami masih di sini, jadi peluang berentap sekali lagi sudah tentu menyeronokkan."

Dalam satu lagi aksi separuh akhir lelaki (8 malam waktu Malaysia), Novak Djokovic akan berdepan seorang lagi pemain dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut.