Naomi Osaka tidak akan beraksi dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Western & Southern di Cincinnati sebagai protes terhadap ketidakadilan perkauman di Amerika Syarikat (AS) berikut berikutan insiden penembakan Jacob Blake oleh pihak polis di negara itu.

Blake -- seorang lelaki kulit hitam -- ditembak berkali-kali di belakangnya oleh polis Wisconsin dan insiden itu memacu protes besar-besaran dalam kalangan ahli sukan seluruh dunia.

Kesemua perlawanan NBA di Walt Disney World Resort awal pagi tadi dibatalkan bagi menyuarakan keinginan perubahan terhadap ketidakadilan dan tindakan ganas polis.

Perlawanan Milwaukee Brewers menentang Cincinnati Reds dan Seattle Mariners lawan San Diego Padres dalam MLB turut ditunda manakala perlawanan MLS pada awal pagi esok turut dibatalkan.

Kini, pemenang dua kali kejohanan grand slam, Osaka -- yang sepatutnya bertemu Elise Mertens dalam separuh akhir kejohanan WTA Perdana itu -- turut tidak akan mengambil bahagian.

Selepas menewaskan Anett Kontaveit, bintang Jepun dan pilihan keempat kejohanan itu mengeluarkan satu kenyataan dalam Twitter.

"Hello, seperti yang diketahui semua, saya sepatutnya bermain dalam perlawanan separuh akhir esok. Bagaimanapun, sebelum saya menjadi atlet, saya adalah wanita kulit hitam.

"Dan sebagai wanita kulit hitam, saya berasakan ada banyak perkara lebih penting yang perlu diberikan perhatian daripada melihat saya bermain tenis.

"Saya tidak mengharapkan sesuatu yang drastik berlaku apabila saya tidak bermain tetapi jika saya dapat memulakan perbincangan ini dalam sukan yang majoritinya disertai pemain kulit putih, saya menganggapnya sebagai langkah ke jalan yang benar.

"Melihat pembunuhan orang kulit hitam secara berterusan di tangan polis, sejujurnya membuatkan saya berasa mual.

"Saya sudah penat melihat tanda pagar baru muncul setiap hari dan saya benar-benar sudah penat membicarakan perkara yang sama berulang kali.

"Bilakah semua ini akan berkesudahan? #JacobBlake, #BreonnaTaylor, #ElijahMcclain, #GeorgeFloyd."