Terbuka Western & Southern dihentikan kerana protes perkauman

Oleh Muzaffar Musa 27 Ogos 2020 71
Terbuka Western & Southern dihentikan kerana protes perkauman
Kejohanan Tenis Terbuka Western & Southern tidak akan berlangsung esok disebabkan protes ketidakadilan perkauman.

Pasukan dan pemain di Amerika Utara memboikot beberapa kejohanan dalam pelbagai jenis sukan hari ini susulan insiden penembakan Jacob Blake, seorang kulit hitam, di Wisconsin.

Blake di tembak berkali-kali di belakang badannya oleh anggota polis, yang mendorong protes dalam sukan profesional di serata dunia.

Selepas juara dua kali kejohanan grand slam, Naomi Osaka, mengumumkan bahawa dia tidak akan turun beraksi dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Western & Southern menentang Elise Mertens esok, kejohanan itu kini dihentikan.

"Sebagai satu sukan, tenis secara kolektif mengambil pendirian untuk menentang ketidaksamaan antara kaum dan ketidakadilan sosial yang sekali lagi menjadi tumpuan di Amerika Syarikat," kata satu kenyataan yang dikeluarkan WTA.
 
"Pihak USTA, Jelajah ATP dan WTA telah memutuskan untuk mengiktiraf saat ini dengan menghentikan perlawanan dalam Terbuka Western & Southern pada Khamis, 27 Ogos ini (awal pagi esok).

"Kejohanan ini akan bersambung pada Jumaat, 28 Ogos."

Masih tidak dapat dipastikan sama ada Osaka akan mengambil bahagian dalam perlawanan yang ditunda itu.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Victoria Azarenka akan berdepan Johanna Konta.

Dalam kategori lelaki pula, Novak Djokovic akan menentang Roberto Bautista Agut manakala Stefanos Tsitsipas akan bertemu Milos Raonic.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen