Terbuka Rotterdam: Tsitsipas pula jadi mangsa 

Oleh Staff Writer 14 Februari 2020 69
 Terbuka Rotterdam: Tsitsipas pula jadi mangsa 
Stefanos Tsitsipas menjadi pemain pilihan terbaru yang tersingkir dalam Terbuka Rotterdam untuk Jannik Sinner meraih kemenangan pertama ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, awal pagi tadi. 

Selepas pilihan utama, Daniil Medvedev, ditunjukkan jalan keluar semalam, Tsitsipas dan David Goffin -- masing-masing sebagai pilihan tempat kedua dan keempat -- berpeluang untuk merebut kejuaraan. 

Aljaz Bedene dari Slovenia mencatat kemenangan terbesar dalam kerjayanya dengan menewaskan Tsitsipas -- antara 10 pemain terbaik -- menerusi kemenangan 7-5, 6-4.

"Saya cuba kekal fokus dan saya berjaya melakukannya," kata Bedene sejurus selepas kejayaan mengagumkannya itu.

"Saya beraksi dengan baik pada detik penting dan kekal tenang kerana saya berasakan bahawa dia (Tsitsipas) kadang-kadang agak tertekan.

"Saya perlu menumpukan perhatian, kekal tenang dan memberikan pukulan terbaik, saya berjaya melakukannya. Untuk itu, saya berasa gembira."

Pemain ke-52 dunia tersebut menyelamatkan lima 'break point' lawannya itu dalam set pembukaan sambil mengakui: "Saya fikir dia (Tsitsipas) mungkin merupakan pemain yang lebih baik dalam set pertama.

"Dia melakukan servis dengan baik dan saya pula tidak dapat memperagakan permainan sebenar -- terutama dalam mata servis. Saya tetap kental, itulah yang saya perlu lakukan. Jika tidak, saya perlu mencari jalan lain."

Bedene akan menentang Felix Auger-Aliassime di peringkat suku akhir dan pemenangnya berpotensi bertemu dengan juara NextGen, Sinner -- yang akan berhitung dengan Pablo Carreno Busta -- di peringkat separuh akhir.

Sinner, yang masih berusia 18 tahun, mula menarik perhatian ramai setelah mengalahkan antara pemain pilihan, Goffin, 7-6 (9-7), 7-5.


Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen