Stefanos Tsitsipas terpaksa bermandi keringat sebelum menyingkirkan Hubert Hurkacz untuk mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Rotterdam, awal pagi tadi.

Pemain pilihan kedua itu akan bertemu Karen Khachanov dalam acara ATP 500 itu di sebalik mempamerkan prestasi tidak menentu ketika menyingkirkan Hurkacz, 6-4, 4-6, 7-5 dalam tempoh dua jam tujuh minit.

Begitupun, pemain pilihan tunggal yang masih kekal itu selepas penyingkiran Daniil Medvedev, tidak melepaskan sebarang break point buat lawannya tersebut selepas sering gagal dalam servis set kedua.

"Saya beraksi dengan sangat baik," katanya yang merakamkan rekod 8-1 tahun ini.

"Kami bertarung di tahap yang tinggi dan tidak memberikan banyak peluang break point.

"Kedua-dua belah pihak melakukan servis yang baik dan saya sangat gembira memandangkan telah berjuang keras hingga akhir. Ia melelahkan tetapi membuahkan hasil."



Ini pertemuan kelima berturut-turut mereka dengan pemenangnnya ditentukan dalam set terakhir.

"Hubert merupakan pesaing yang sangat sukar," tambah pemain Greece itu yang belum pernah memenangi kejohanan ATP 500.

"Kami telah bertembung banyak kali. Selalunya apabila di atas gelanggang, saya tahu apa yang diharapkan.

"Dia adalah pejuang dan tidak suka menyerah, jadi ia sering menjadikannya seorang lawan yang sangat sukar."

Dusan Lajovic pula mengejutkan naib juara Melbourne, Medvedev, dengan kemenangan straight-set semalam.

Namun, kempennya berakhir di tangan Borna Coric, yang menang dengan selesa 6-3, 6-2 untuk menghadapi Kei Nishikori di peringkat seterusnya.

Kelayakan veteran Jeremy Chardy mengalahkan David Goffin, mengakhiri harapan pemain Belgium untuk merebut gelaran ATP, dan akan menentang Andrey Rublev dalam lapan terakhir.