Terbuka Rotterdam: Rublev sedia bertemu Murray

Oleh Muzaffar Musa 3 Mac 2021 23
Terbuka Rotterdam: Rublev sedia bertemu Murray
Andrey Rublev akan bertemu Andy Murray dalam Kejohanan Tenis Terbuka Rotterdam selepas pemain Russia itu mengatasi Marcos Giron 7-6, 6-3 dalam pusingan 32 malam tadi.

Perlawanan menarik di antara Rublev dan bekas pemain nombor satu dunia, Murray, akan mengambil tempat dalam slot utama petang esok bagi menghangatkan pertembungan di antara bakat muda paling menyinar dalam Jelajah ATP itu dengan juara tiga kali Kejohanan Grand Slam berkenaan.

Pemain nombor lapan dunia, Rublev, pada usia 23 tahun, menjadi sebahagian daripada pemain muda yang berpotensi untuk menjadi penerus legasi dalam kejohanan jelajah lelaki apabila Murray dan tiga pemain gergasi lain, iaitu Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic, mengumumkan persaraan mereka kelak.

Selepas pemain peluang khas, Murray, meraih kemenangan ke atas Robin Haase semalam, Rublev turut melakukan perkara sama dengan menewaskan pemain di ranking ke-80 dunia, Giron, yang layak ke saingan utama itu melalui pusingan kelayakan.

"Andy seorang legenda sejati dan saya mempunyai hubungan yang amat baik dengannya," kata Rublev seperti yang dipetik daripada laman web rasmi ATP.

"Saya amat menggemarinya sebagai seorang individu dan pemain.

"Dia pernah mengalahkan saya sekali sebelum ini. Saya pasti kami akan beraksi hebat, rally yang panjang dan perlawanan yang amat sengit."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen