Petra Kvitova mengakhiri perjuangan pemain kelayakan, Jessica Pegula, bagi mengulangi perlawanan akhir 2018 menentang Garbine Muguruza dalam Kejohanan Tenis Terbuka Qatar.

Kvitova menewaskan Pegula dengan straight set menang 6-4, 6-4, awal pagi tadi, untuk mara ke final ketiga kejohanan itu dalam tempoh empat tahun.

Pegula sempat memberikan tentangan sengit untuk mendahului 3-0 dalam set kedua sebelum rentaknya dipatahkan Kvitova selepas sejam 18 minit bertarung.

Juara Wimbledon dua kali itu merangkul trofi di Doha berkenaan tiga tahun lalu apabila menewaskan Muguruza yang tidak perlu berusah payah untuk melolosi separuh akhir semalam selepas lawannya, Victoria Azarenka, terpaksa menarik diri akibat kecederaan belakang.



"Saya rasa ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar," kata Muguruza, menurut laman sesawang Jelajah WTA.

"Kami pernah bertembung di sini juga dalam final tiga tahun lalu, jadi saya hanya menantikan perlawanan ini dan mudah-mudahan saya dapat menjulang kejuaraan."

Pemain Sepanyol itu berada dalam prestasi yang memberangsangkan minggu ini apabila mengakhiri impian Aryna Sabalenka untuk mempertahankan kejuaraan di peringkat 16 sebelum menundukkan Maria Sakkari dalam suku akhir.

Sementara itu, dalam Terbuka Lyon pula, pilihan kedua, Fiona Ferro, bangkit untuk menewaskan rakan senegara dari Perancis, Clara Burel, sekali gus menempah laluan ke separuh akhir.

Kemenangan 2-6, 6-1, 6-3 itu bermakna dia bakal memasuki tangga ke-40 terbaik dunia buat julung kali dalam kariernya.

Satu-satunya pemain pilihan lain yang bertahan ialah Paula Badosa yang mengalahkan Kristina Mladenovic. Pemain Sepanyol akan menantikan pemain kelayakan Clara Tauson dalam separuh akhir.