Roger Federer kelihatan keletihan tetapi amat gembira untuk menandakan kepulangan semulanya dalam aksi kompetitif dengan kemenangan ke atas Dan Evans dalam pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Qatar malam tadi.

Legenda Switzerland itu tidak pernah beraksi secara kompetitif sejak 14 bulan lalu selepas menjalani pembedahan lutut tetapi dia kini sudah bersedia untuk kembali menakluk selepas meraih kemenangan 7-6, 3-6, 7-5 ke atas lawan dari Britain itu.

Juara 20 kali kejohanan grand slam itu menghabiskan beberapa minggu lalu untuk berlatih bersama Evans dan mereka menambah dua jam dan 24 minit lagi dalam pertarungan sebenar yang berlangsung sengit.

Federer gembira kerana dapat kembali beraksi selepas berehat panjang dan pemain berusia 39 tahun itu seterusnya akan menghadapi Nikoloz Basilashvili dalam suku akhir di Doha.

Dia berkata: "Saya keletihan. Saya lebih fokus untuk mengatasi keletihan daripada meraih mata. Jika saya disingkirkan, saya mahu disingkirkan dengan melawan.

"Dan mempunyai lebih banyak tenaga pada penghujung permainan tetapi saya mengambil servis dengan baik dan saya rasa telah bermain dalam perlawanan yang amat bagus. Saya amat gembira dengan prestasi saya.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk berkongsi gelanggang dengan Dan dan sentiasa baik untuk menamatkan mata terakhir dengan pukulan kilas.

"Perkara terpenting adalah bagaimana keadaan saya untuk esok, lusa dan enam bulan selepas ini.

"Ia merupakan perjalanan panjang yang amat sukar buat saya. Saya menikmatinya walaupun ia adalah cabaran besar dalam karier tenis saya," katanya.