Novak Djokovic percaya Rafael Nadal masih pilihan utama untuk memenangi Kejohanan Tenis Terbuka Perancis biarpun pemain itu tersingkir dalam Kejohanan Antarabangsa Itali.

Djokovic meneruskan kegemilangannya dengan menjuarai kejohanan di Rome itu selepas menewaskan Diego Schwartzman 7-5, 6-3 awal pagi tadi.

Jaguh Serbia itu memenangi gelaran ATP 1000 yang ke-36, memintas Nadal sebagai pemegang rekod terbanyak gelaran itu, yang dilihat sebagai persiapan terbaik menjelang Terbuka Perancis hujung minggu ini.

Walaupun Nadal ditewaskan Schwartzman dalam suku akhir kejohanan di Itali itu, Djokovic berkata juara 12 kali Terbuka Perancis berkenaan masih pemain pilihan untuk menjulang gelaran itu di Roland Garros.

"Ia Nadal (pilihan utama). Walaupun dia tewas minggu ini, saya fikir dia masih pilihan dan ramai orang akan bersetuju dengan saya, dia merupakan pemain pilihan utama," kata Djokovic dalam sidang media.

"Rekod yang dimilikinya di sana, sejarah keputusannya, anda tidak boleh meletakkan sesiapa di depannya. Tetapi Diego telah membuktikan Nadal boleh ditewaskan di gelanggang tanah liat.

"Keadaan ketika mereka bemain, tanah liat yang berat, tidak banyak lantunan, agak lembap, sesi malam, kami akan mengalaminya sekali lagi di Paris.

"Perlawanan sebelah malam di bawah lampu, kurang lantunan berbanding biasa, saya yakin dia tidak menggemari keadaan seperti itu.

"Saya tahu dia menggemari lantunan yang kuat, dia suka keadaan yang panas dan pantas, di mana dia boleh menggunakan bola pusarnya.

"Kita akan lihat. Ia akan menjadi menarik. Walaupun dia pilihan utama, terdapat pemain lain yang boleh menewaskannya.

"Ia perlawanan 'best of five'. Anda perlu benar-benar cergas untuk mendapatkannya," katanya.

Juara 17 kali Kejohanan grand slam, Djokovic, memenangi Terbuka Perancis pada 2016 dan tewas tiga kali dalam final kejohanan itu, termasuk dua kali kepada Nadal.

Memandangkan kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu itu telah ditunda ke bulan ini, Djokovic berharap cuaca sejuk di Paris akan memihaknya.

"Saya tidak boleh berharap Rafa tidak ke final. Saya hanya berharap diri saya akan ke final dan berjuang untuk mendapatkan trofi itu.

"Ia adalah pemain yang mempunyai peluang paling besar untuk berada dalam final Terbuka Perancis dan mana-mana kejohanan seperti itu.

"Jika ada kejohanan seperti itu, ia adalah Roland Garros dan Rafa merupakan pemain yang anda mahu saksikan.

"Tetapi keadaannya akan menjadi berbeza.

"Saya fikir saya telah melalui sesuatu yang mungkin berlaku dengan keadaan di Paris.

"Sedikit hujan, padang yang basah, tanah liat, tiada lantunan yang kuat dan sedikit sejuk.

"Itulah yang diperkatakan mengenai cuaca di Paris dan saya menggemari keadaan seperti itu," katanya lagi.