Rafael Nadal menangkis sebarang cakap-cakap mengenai soal koleksi Grand Slam tatkala dia bertekad meneruskan kisah memukaunya di pentas Roland Garros.

Nadal menundukkan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, 6-0, 6-2, 7-5, untuk menyamai rekod 20 gelaran utama yang dimiliki Roger Federer.

Ini adalah kejayaan ke-13 di gelanggang tanah liat di Paris buat pemain Sepanyol itu dan dia meletakkan penanda aras sendiri dengan sudah memikirkan tentang kejuaraan musim depan.

"Untuk menang di sini amat bermakna buat saya," katanya.

"Ini bukan masanya -- jujur ​​bukan untuk diri saya -- memikirkan Grand Slam yang ke-20, menyamai pencapaian Roger mahupun memikirkan berapa banyak kali sudah saya menanginya.

"Bagi saya, hari ini hanyalah kemenangan Roland Garros. Roland Garros membawa makna segalanya buat saya.

"Saya menghabiskan detik-detik terpenting dalam karier tenis saya di sini. Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada semua orang di sini.

"Bagi saya, peluang beraksi di sini adalah inspirasi yang benar. Kisah cinta saya terhadap bandar dan gelanggang ini tidak akan dapat dilupakan."




Begitu dominan adalah kemenangan terbaru di Court Philippe-Chatrier itu, Nadal meminta maaf kepada pencabarnya, Djokovic, yang turun dengan reputasi belum pernah tewas dalam kejohanan kompetitif sepanjang 2020.

"Tahniah kepada Novak kerana mengharungi satu lagi kejohanan yang hebat," katanya lagi.

"Maaf untuk hari ini. Di Australia, dia beberapa kali pernah 'membunuh saya'. Hari ini menjadi milik saya.

"Ia sebahagian daripada permainan. Kami telah berentap berkali-kali -- ada masanya saya menang dan begitu juga sebaliknya. Jadi semoga berjaya, Novak."

Djokovic mengakui bahawa dia sama sekali gagal memberikan saingan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Rafa, pasukan dan keluarganya," kata atlet dari Serbia itu.

"Apa yang anda lakukan di gelanggang ini sukar dipercayai -- tetapi bukan di venue ini sahaja. Sepanjang karier, anda muncul sebagai juara yang ulung.

"Hari ini anda membuktikan mengapa layak ditabalkan sebagai raja tanah liat. Aku berdepan dengannya sendiri.

"Ini adalah perlawanan yang sangat sukar untuk saya pada hari ini -- jelas saya tidak begitu gembira dengan corak permainan sendiri tetapi sudah pastinya saya ditundukkan oleh seorang pemain yang lebih baik di gelanggang ini pada hari ini."