Sofia Kenin mara buat kali pertama ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Perancis selepas menewaskan Fiona Ferro 2-6, 6-2, 6-1.

Juara Terbuka Australia itu bermula perlahan tetapi bangkit dengan gemilang untuk mencongak perhitungan sama ada dengan Ons Jabeur atau Danielle Collins -- perlawanan di antara kedua-dua pemain itu terpaksa ditunda berikutan cuaca buruk malam tadi.

Pemain pilihan ketujuh, Petra Kvitova, pula akan berdepan Laura Siegemund dalam suku akhir selepas masing-masing menewaskan Zhang Shuai dan Paula Badosa dengan straight set.

Berdepan wakil ltuan rumah di Court Philippe Chatrier, Kenin mempamerkan aksi di kelas tersendiri untuk bangkit daripada kekalahan dalam set pertama dan menyingkirkan Ferro dalam dua set berikutnya.

Dia kemudian mengakui bahawa selama ini dia tidak gemar bermain di atas gelanggang tanah liat tetapi ia telah berubah kerana sudah mula menikmati permainan di permukaan itu.

"Saya amat berbangga dengan diri saya. Terdapat banyak emosi dan saya amat gembira dapat memenanginya. Penyokong hari ini bukanlah yang terbaik tetapi ia dapat difahami.

"Saya biasanya tidak bermain baik di atas tanah liat. Selama beberapa tahun ini, saya benci bermain di atas tanah liat dan pada tahun lalu, saya mula menggemarinya buat kali pertama.

"Saya amat berbangga kerana mara sejauh ini dalam kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, Kvitova mara ke suku akhir di Roland Garros buat kali pertama sejak lapan tahun lalu selepas menewaskan Zhang dalam tempoh sejam 25 minit.

Pemain Republik Czech itu bangkit daripada serangan berpisau dalam edisi 2017 dan berkata memori pahit itu kembali menghantuinya di penghujung perlawanan malam tadi.

"Saya menjadi agak beremosi pada dua mata terakhir perlawanan ini.

"Segala-galanya muncul kembali seperti ketika saya mempunyai seluruh keluarga saya dan orang yang menyayangi saya.

"Mereka membantu saya menghadapi waktu yang sangat-sangat sukar itu.

"Ia sememangnya satu perjalanan yang panjang," katanya.