Novak Cjokovic hanya memerlukan sejam dan 23 minit untuk menamatkan cabaran Ricardas Berankis dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis malam tadi, sekali gus mencatatkan sejarah baru dalam kariernya.

Kemenangan 6-1, 6-2, 6-2 itu membuktikan jurang perbezaan di antara kedua-dua pemain untuk Djokovic memacu laluannya ke pusingan ketiga.

Kedua-dua pemain itu pernah bertemu sebanyak dua kali sebelum ini dengan Berankis memberikan tentangan hebat untuk Djokovic menang tipis dalam aksi dua set Kejohanan Masters 1000 di New York, Ogos lalu.

Bagaimanapun, pertemuan kali ini ditamatkan dengan keputusan sama ketika kali pertama mereka bertemu dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) tujuh tahun lalu, dan ia membuktikan perbezaan kualiti ketara di antara pemain nombor satu dunia itu dan pemain di ranking ke-66 berkenaan.

Ia bermakna Djokovic kini merekodkan kemenangannya yang ke-70 dalam kategori perseorangan di Roland Garros, selepas mencapai jumlah yang sama dalam Terbuka Australia, Kejohanan Wimbledon dan Terbuka AS.

Kemenangannya dalam Terbuka Perancis kini menyamai rekod Roger Federer, yang tidak menyertai edisi tahun ini berikutan sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan lutut.

Djokovic dan Federer berada di tangga kedua kedudukan dalam rekod kemenangan terbanyak sepanjang zaman kejohanan berkenaan, jauh di belakang Rafael Nadal yang merekodkan 95 kemenangan daripada 97 perlawanan.