Novak Djokovic tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan ke atas Karen Khachanov dalam pusingan keempat Kejohanan Tenis Terbuka Perancis tetapi dia berdepan situasi janggal yang membuatkannya berasa seperti deja vu.

Djokovic mara ke suku akhir buat kali ke-14 di Roland Garros selepas menang 6-4, 6-3, 6-3 di Court Philippe Chatrier malam tadi.

Aksi menghiburkan tetapi berat sebelah itu turut menyaksikan satu drama di atas padang di mana Djokovic secara tidak sengaja terpukul bole ke arah penjaga garisan.

Pemain nombor satu dunia itu dibatalkan penyertaan dalam Terbuka AS kerana memukul bola ke arah penjaga garisan selepas dia kehilangan mata servis tetapi insiden kali ini tidak akan membatalkan penyertaannya meskipun Djokovic mengakui momen itu membuatkan di berasa tidak senang.

"Oh Tuhan, ia satu deja vu yang amat janggal," katanya dalam sidang media.

"Saya sebenarnya cuba untuk bertemu dengan penjaga garisan itu untuk melihat keadaannya kerana saya dapat lihat sedikit bengkak seperti kemerahan di kepalanya, di mana bola terkena kepadanya.

"Saya harap di baik-baik sahaja. Maksud saya, dia benar-benar menghadapinya dengan cara yang amat kuat dan berani. Tetapi ia terkena kerana saya terlalu dekat.

"Sudah pasti selepas apa yang berlaku di New york, saya fikir orang akan memperbesar-besarkan insiden ini.

"Ia pernah berlaku kepada saya dan ramai pemain lain sepanjang 15 tahun saya menyertai kejohanan jelajah.

"Saya sudah banyak kali lihat apabila bola terbias ke raket dan mengenai seseorang di tempat duduk, atau seseorang yang hampir dengan anda seperti penjaga garisan.

"Amat jelas ia satu keadaan yang janggal," katanya.

Djokovic akan berdepan Pablo Carreno Busta dalam suku akhir selepas pemain Sepanyol itu menewaskan Daniel Almaier 6-2, 7-5, 6-2.