Jan-Lennard Struff dan Filip Krajinovic dijadualkan untuk bertemu dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Munich hari ini.

Pemain pilihan tuan rumah, Struff, meneruskan kemaraanya dalam kelompok lapan terbaik kejohanan di gelanggang tanah liat itu buat kali keempat sepanjang kariernya selepas meraih kemenangan, 7-6, 6-7, 6-2 ke atas seorang lagi pemain Jerman, Dominik Koepfer.

Struff bangkit daripada ketinggalan 2-4 untuk memenangi set pertama dan memenangi empat game berturut-turut untuk memenangi set penentuan.

Dia melakukan 11 servis ace dan mengatur enam mata break sepanjang perlawanan selama dua jam 39 minit itu.

Sementara itu, pemain pilihan keempat, Krajinovic, akan membuat perhitungan dengan Struff bagi penentuan ke separuh akhir selepas wakil Serbia itu memperoleh laluan percuma dalam pusingan 16 apabila lawannya, Yannick Hanfmann, terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan leher.