Terbuka Miami: Hurkacz akhiri kecemerlangan dengan trofi

Oleh Shaiful Shamsudin 5 April 2021 120
Terbuka Miami: Hurkacz akhiri kecemerlangan dengan trofi
Hubert Hurkacz melakar sejarah menjulang gelaran ATP 1000 buat julung kalinya dengan mengetepikan Jannik Sinner dalam perlawanan akhir Kejohanan Tenis Terbuka Miami.

Hurkacz muncul juara ATP 1000 pertama dari Poland hasil kemenangannya 7-6 (7-4), 6-4 ke atas pemain sensasi remaja itu di Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi. 

Pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas, Andrey Rublev (pilihan keempat), Denis Shapovalov (keenam) dan Milos Raonic (12) kesemuanya menjadi mangsa Hurkacz dalam laluannya ke final.

Hurkacz -- pilihan ke-26 -- melengkapkan perjuangan yang pasti tidak akan dapat dilupakannya itu dengan kemenangan mengagumkan ke atas lawan dari Itali berusia 19 tahun tersebut selepas 1 jam 45 minit bertarung di gelanggang.

 

Akan memasuki senarai 20 pemain terbaik Jelajah ATP buat kali pertama dalam kariernya dengan meraih tangga ke-16 dunia dari 37, Hurkacz menjadi pemain keempat yang memenangi trofi ATP 1000 pertamanya melalui Terbuka Miami sejak 1990 bagi menyusul mengikut jejak John Isner (2018), Novak Djokovic (2007) dan Andre Agassi (1990).

"Saya mempamerkan aksi terbaik yang pernah saya lakukan," kata Hurkacz, yang menyempurnakan tujuh daripada 11 peluang break-point berbanding Sinner.

"Saya kental sepanjang kejohanan ini dan saya dapat melolosi setiap pusingan, jadi saya makin teruja untuk kejohanan seterusnya. Saya rasa ia sesuatu yang istimewa bagi diri saya.

"Permainan saya semakin baik. Kami bekerja keras di samping jurulatih saya, Craig Boynton, dan saya sangat gembira kerana ia membuahkan hasil di sini. Kami masih perlu memperbaiki beberapa aspek lagi dan terus berusaha menjadi lebih baik pada setiap hari."

 

Hurkacz muncul pemain pertama Jelajah ATP musim ini yang memenangi dua gelaran selepas berjaya dinobatkan juara Terbuka Delray Beach.

Pemain berusia 24 tahun itu menambah: "Tahun lalu saya banyak menghabiskan masa di Florida. Hampir separuh tahun ini saya habiskan di sini.

"Kami bekerja keras dan saya sudah terbiasa dengan keadaan ini. Saya rasa sebahagian kejayaan ini adalah kerana saya berada di Florida."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen