Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, menyertai Rafael Nadal dan Roger Federer dalam memutuskan untuk tidak mengikuti Kejohanan Tenis Terbuka Miami yang bermula minggu depan.

Kejohanan bertaraf Masters 1000 belum mampu menjadi tarikan besar buat barisan pemain lelaki terkemuka tahun ini, dan Djokovic menjadi pemain berprofil tinggi terbaru yang menarik diri.

Pemain Serbia berusia 33 tahun itu mengumumkan bahawa dia ingin meluangkan masa bersama keluarga berbanding berkunjung ke Amerika Syarikat atas alasan mahu mewujudkan keseimbangan dalam hidupnya berikutan kekangan COVID-19.

Hadiah kemenangan Miami dikatakan telah dipotong daripada $16.7 juta (RM68.6j) -- kali terakhir ia diadakan pada 2019 -- menjadi $6.68j (RM27.4j) tahun ini.




Pengurangan mendadak itu, yang dilaporkan oleh laman sesawang Tennis Majors, boleh jadi mendorong sebahagian pemain utama lelaki enggan mengikuti kejohanan ini sementara acara wanita pula sebaliknya.

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia, Daniil Medvedev, akan menjadi pilihan utama lelaki jika dia bersetuju untuk beraksi.

Djokovic menciap di Twitter: "Peminat yang dihormati, saya sangat kesal untuk mengumumkan bahawa tahun ini saya tidak akan ke Miami untuk bertanding.

"Saya memutuskan untuk menggunakan kesempatan berharga ini duduk di rumah di samping keluarga. Berikutan sekatan yang dikenakan, saya perlu mencari keseimbangan dalam aksi jelajah dan berada di rumah. Saya tidak sabar untuk kembali tahun depan!"

Nadal pula dibelenggu masalah pinggu sebagai alasan untuk menarik diri bagi memberinya ruang untuk pulih sepenuhnya menjelang kejohanan di gelanggang tanah liat dalam usahanya menjuarai Terbuka Perancis buat kali ke-14.

Pemenang 20 Grand Slam 20, Federer, yang baru kembali selepas pembedahan lutut berhasil mengalahkan Dan Evans dalam perlawanan pertamanya sejurus kembali beraksi dalam Terbuka Qatar sebelum tewas kepada Nikoloz Basilashvili.

Federer kemudian memilih untuk tidak beraksi di Dubai dan tidak akan berada di Miami, di mana dia adalah juara bertahan selepas menggondol gelaran berkenaan pada
2019 sementara edisi tahun lalu dibatalkan ekoran krisis COVID-19.