Pemain nombor satu dunia, Ash Barty, mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Tenis Terbuka Miami WTA selepas lawannya, Bianca Andreescu, menarik diri berikutan kecederaan dalam set kedua perlawanan final malam tadi.

Barty beraksi kukuh dalam pertembungan itu, di mana dia mendahului 6-3, 4-0 sebelum Andreescu terpaksa menaik diri. Pemain Kanada itu terseliuh pergelangan kaki dalam game kedua set kedua.

Ia bukanlah final impian untuk Barty mempertahankan kejuaraannya buat kali pertama sepanjang kariernya tetapi pemain Australia itu melebarkan rekod 12 perlawanan tanpa kalah di Miami.

Dia juga telah meraih 13 kemenangan daripada 16 perlawanan menentang lawan dalam kelompok 10 teratas dunia -- kali keenam berturut-turut -- selain telah mengumpulkan 10 gelaran WTA, termasuk dua yang diperolehnya pada 2021.

Kecederaan itu pasti mengecewakan Andreescu, yang melalui pertarungan tiga set dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ke final.