Novak Djokovic menjulang gelaran pertamanya sejak kejayaan dalam Terbuka Wimbledon dengan mengetepikan John Millman dalam final Terbuka Jepun, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu meraih kejayaan berkenaan dengan merakamkan keputusan 6-3, 6-2 dalam pertarungan di Tokyo untuk meraikan kejuaraan solonya yang ke-76 itu.

Ini adalah kunjungan pertama Djokovic ke ibu negara Jepun itu sambil berharap dapat kembali tahun hadapan dalam misi mencabar pingat emas Sukan Olimpik, salah satu daripada beberapa kejuaraan yang belum pernah digenggamnya.

Millman dari Australia, yang beraksi dalam final Jelajah ATP pertamanya pada usia 30 tahun, dari awal lagi sudah diramalkan bukan tandingan pemenang 16 gelaran grand slam dari Serbia itu.

Djokovic berkata tentang kejayaan terbarunya itu: "Ini adalah satu kejayaan hebat dalam segala aspek. Saya berasa hebat di gelanggang dan juga berasa sangat dialu-alukan oleh orang Jepun di luar gelanggang.

"Kami menghabiskan 10 hari yang luar biasa di Jepun dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk kembali tahun depan dengan harapan dapat memenangi Sukan Olimpik."

Pemain berusia 32 tahun itu terpaksa menarik diri ketika ketinggalan dua set kepada Stan Wawrinka dalam pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal bulan lalu, ekoran kecederaan bahu.

Dia membuktikan kemampuannya sebaik kembali cergas dengan menjulang satu lagi trofi menjelang kejohanan lebih berprestij, Shanghai Masters, minggu depan.

Bercakap tentang persembahannya, Djokovic berkata di Tenis TV: "Saya fikir daripada segi permainan, ini pastilah tahap yang lebih tinggi yang saya pamerkan sejak beberapa bulan terakhir ini.

"Saya berharap dapat mengekalkannya di Shanghai juga."

Dalam perkembangan berasingan, Naomi Osaka bangkit untuk menumbangkan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty, 3-6, 6-3, 6-2 dalam aksi final wanita Terbuka China.