Andy Murray melangkaui sasaran peribadinya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Stan Wawrinka dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Eropah di Antwerp awal pagi tadi.

Januari lalu, Murray dengan penuh beremosi berkata dalam sidang media Terbuka Australia bahawa kariernya mungkin sudah berakhir gara-gara kecederaan pinggul jangka panjang.

Pemain Britain itu menjalani pembedahan tetapi kembali menyertai kejohanan beregu di Queens, Jun lalu sebelum kembali dalam acara perseorangan dalam kejohanan di Cincinnati, Ogos lalu.

Selepas dua bulan, tangisan hibanya di Melbourne digantikan dengan tangisan kegembiraan apabila menewaskan Wawrinka untuk meraih kejuaraan Persatuan Tenis Profesional (ATP) pertamanya sejak 2017 dengan menewaskan Wawrinka 3-6, 6-4, 6-4 di Antwerp.

"Ia memberikan makna besar. Beberapa tahun lalu amat sukar. Saya dan Stan berdepan perlbagai kecederaan dalam beberapa tahun ini," katanya dalam sesi temu bual di atas gelanggang.

"Amat hebat untuk bertemunya kembali dalam final seperti ini.

"Saya fikir ia adalah perlawanan yang hebat.

"Saya tidak pernah terfikir untuk berada di kedudukan ini.

"Saya amat gembira," katanya.

Wawrinka juga masih memburu kejuaraan pertamanya sejak menjalani pembedahan di kedua-dua belah lututnya pada Ogos 2017 dan Murray mahu mendedikasikan kejuaran itu buat lawannya.

"Stan pemain yang bijak. Dia pernah menjuarai kejohanan-kejohanan besar.

"Dia sentiasa beraksi baik dalam perlawanan besar.

"Kami mengenali sesama sendiri.

"Kami beraksi dalam pelbagai perlawanan sukar sebelum ini.

"Saya menjangkakan satu lagi perlawanan hebat dan saya menerimanya," tambahnya.