Terbuka China: Nadal bertemu Isner dalam suku akhir

Oleh Penulis Jemputan 6 Oktober 2017 38
Terbuka China: Nadal bertemu Isner dalam suku akhir
Rafael Nadal mempamerkan persembahan cemerlang ketika menewaskan Karen Khachanov untuk menempah slot ke suku akhir berdepan John Isner dalam Terbuka China manakala Alexander Zverev meraih kemenangan bergaya ke atas Fabio Fognini.

Pemain tenis dari Sepanyol itu, yang bermain dalam kejohanan pertama sejak meraih kejuaraan Terbuka AS, mempamerkan kecemerlangannya selepas kembali meraih kedudukan nombor satu dunia dengan kemenangan 6-3, 6-3.

Nadal, yang menyelamatkan dua mata perlawanan pada pusingan pertama ketika menewaskan Lucas Pouille, berjaya mengetepikan aksi gugup pada awal saingan dengan cemerlang di Beijing..

Nadal berada dalam landasan terbaik untuk meraih gelaran Terbuka China buat kali kedua selepas kali terakhir pada 2005 dan bakal berdepan Isner, yang turut mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Leonardo Mayer 6-0, 6-3.

Bercakap selepas menewaskan Khachanov, Nadal berkata, "Saya sangat gembira dengan kemenangan ini.

"Saya berasakan telah bermain dengan baik. Tugas berat menanti ketika bertemu Isner. Dia turut berada pada tahap terbaik. Saya menyaksikan perlawanannya," katanya.

Sementara itu, Zverev berjaya menghadapi cabaran Fognini untuk kekal dalam misi untuk bertemu Nadal bagi membalas dendam apabila tewas kepadanya dua kali tahun ini.

Pemain tenis Jerman itu memerlukan satu jam dan 13 minit untuk menyempurnakan kemenangan 6-4, 6-2.

Zverev bakal bertemu pemain muda Russia, Andrey Rublev, yang mengejutkan pemain pilihan ketujuh, Tomas Berdych, 1-6, 6-4, 6-1.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen