Rafael Nadal berdepan penyingkiran paling kejam dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia malam tadi biarpun pada satu ketika selesa mendahului Stefanos Tsitsipas dengan dua set.

Hanya sekali Nadal pernah tewas dalam karier grand slamnya selepas mendahului dua set pertama dan kekalahan itu sukar dipercayai berdasarkan aksi dominannya ke atas Tsitsipas di Arena Rod Laver.

Tetapi juara 20 kali kejohanan utama itu, yang sedang memburu rekod baru dengan gelaran ke-21, bergelut untuk mendapatkan kembali momentumnya apabila berdepan kekalahan set kali pertama dalam kejohanan itu selepas penentuan set ketiga berlarutan hingga ke penentuan tie break.

Dengan penuh bersemangat, Tsitsipas kembali mendapatkan keyakinannya untuk meraih kemenangan kedua sepanjang kariernya ke atas Nadal bagi melangkah ke separuh akhir grand slam buat kali ketiga susulan kemenangan epik 3-6, 2-6, 7-6, 6-4, 7-5 dalam masa empat jam.