Serena Williams enggan mengesahkan bahawa ia merupakan penampilan terakhirnya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia sebelum meninggalkan sidang medianya dengan tangisan susulan tewas kepada Naomi Osaka dalam separuh akhir hari ini.

Berhasrat mahu menyamai rekod Margaret Court dengan 24 kejuaraan grand slam -- selepas kali terakhir memenangi kejohanan utama pada 2017 -- Williams tewas 6-3, 6-4 kepada pilihan ketiga kejohanan, Osaka, di Melbourne.

Ia merupakan kali pertama Williams tewas dalam separuh akhir Terbuka Australia selepas memenangi lapan pertemuan terakhir di peringkat itu dalam kejohanan grand slam pembuka tirai berkenaan.

Bintang Amerika Syarikat berusia 39 tahun itu memperlihatkan keadaan beremosi selepas perlawanan di Arena Rod Laver itu, di mana dia meletakkan tangan di dadanya sambil melambai penonton, yang kembali dibenarkan menyaksikan perlawanan itu selepas perintah berkurung selama lima hari ditamatkan.

Ditanya mengenai momen berkenaan, juara tujuh kali Terbuka Australia itu berkata kepada wartawan: "Penonton di Australia amat luar biasa, jadi ia sesuatu yang baik untuk disaksikan."

Ketika ditanya sama ada ia penampilan terakhirnya di Melbourne, Williams membalas: "Saya tidak tahu. Jika saya akan mengucapkan selamat tinggal, saya tidak akan memberitahu sesiapa."

Williams dalam keadaan mengalirkan air mata kemudian menamatkan sidang medianya selepas ditanya mengenai perlawanan itu.