Dominic Thiem bergurau dengan berkata perutnya "memberontak" sebelum menewaskan Alexander Zverez untuk ke final Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne sebentar tadi.

Thiem, pada beberapa ketika, kelihatan tidak sihat ketika menewaskan Zverev 3-6, 6-4, 7-6, 7-6 di Arena Rod Laver itu.

Pemain berbangsa Austria itu melangkah ke final kejohanan utama buat kali ketiga di Melbourne dan akan memburu kejuaraan grand slam pertamanya dengan menentang Novak Djokovic lusa.

Thiem, 26, melupakan masalah perutnya untuk menamatkan pertemuan genting itu dengan kemenangan.

"Saya berasa amat seram. Saya mengeluarkan terlalu banyak tenaga, terlalu banyak usaha dan perut saya tidak bersedia untuknya," katanya dalam satu temu bual dalam gelanggang.

"Saya fikir ia sedikit memberontak tetapi ia baik-baik sahaja.

"Adakalanya ia terjadi dalam perlawanan yang amat sengit dan sukar tetapi ia sentiasa pulih apabila segalanya selesai," katanya.

Thiem melakukan 40 unforced error dan 43 kemenangan untuk mengatasi permulaan perlahannya ketika berdepan rakan baiknya, Zverev.

Pemain yang muncul naib juara Terbuka Perancis sebanyak dua kali itu gembira dengan kemenangannya sambil menganggap ia sebagai permulaan terbaik buat tahun 2020.

"Ia satu lagi perlawanan yang sukar dipercayai, dua tie break, amat sukar dan amat sengit," tambah Thiem, yang turut meraih kemenangan ketujuh daripada sembilan pertemuan dengan Zverev.

"Hampir mustahil untuk saya menewaskannya, dia mempunyai peratusan yang tinggi ketika melakukan servis pertama.

"Tetapi mara ke final Terbuka Australia juga amat sukar dipercayai. Ia permulaan musim terbaik setakat ini," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa