Hajat Serena Williams untuk menyamai rekod 24 kejuaraan grand slam terpaksa ditunda sekali lagi selepas tewas 6-3, 6-4 kepada pemain pilihan ketiga, Naomi Osaka, dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia sebentar tadi.

Tersekat di angka 23 dalam koleksi kejuaraan grand slamnya sejak menjulang trofi utama di Melbourne Park pada 2017, Williams berharap dapat meraih satu lagi gelaran agar dapat menyamai rekod yang dipegang Margaret Court.

Tetapi bekas pemain nombor satu dunia berusia 39 tahun itu tewas kepada juara kejohanan utama tiga kali, Osaka, dalam satu pertembungan blokbuster hari ini.

Walaupun pada awalnya bergelut dengan cuaca panas di Melbourne -- yang menyaksikan peminat kembali dibenarkan untuk menonton perlawanan di Arena Rod Laver -- bintang Jepun, Osaka, mengekalkan ketenangannya untuk meraih tempat ke final dan akan akan bertemu sama ada Jennifer Brady atau Karolina Muchova dalam penentuan kejuaran itu.