Pemenang grand slam dua kali, Naomi Osaka, berasakan dia masih lagi tidak memiliki "mentaliti sang juara" berikutan kekalahan mengejut kepada lawan berusia 15 tahun, Coco Gauff, dalam Terbuka Australia semalam.

Usaha Osaka mempertahankan gelarannya di Melbourne Park berakhir dalam pusingan ketiga apabila tewas 6-3, 6-4 di Rod Laver Arena.

Pemain muda Amerika Syarikat, Gauff, kelihatan lebih tenang sepanjang berdepan Osaka yang mengakui kegagalan mengawal tekanan adalah faktor kekalahannya.

Dia berkata, "Ia merupakan satu perlawanan di mana saya gagal melakukan dengan baik.

"Saya masih lagi tidak memiliki mentaliti sang juara lagi. Ia merupakan sesuatu yang diperlukan ketika tidak dapat menampilkan permainan yang terbaik. Saya sentiasa mahu berada di tahap itu dan berasakan perjalanan saya masih panjang."

Osaka menyifatkan kehidupannya penuh dengan ujian dan mengakui dia kadang-kadang "terharu".

"Saya berasakan kerap kali diberikan ujian. Hidup saya penuh dengan ujian dan malangnya, ujian itu hadir menerusi perlawanan tenis. Jadi, saya perlu mencari jalan untuk menanganinya."




Editor: Ammar Hakim