Kebangkitan Garbine Muguruza berterusan apabila pemenang dua trofi grand slam itu menyingkirkan Anastasia Pavlyuchenkova 7-5, 6-3 untuk ke separuh akhir Terbuka Australia sebentar tadi.

Turun selaku bukan pilihan dalam penampilan grand slam sejak 2014, Muguruza memperlihatkan keampuhannya di Melbourne apabila kembali berganding bahu dengan bekas jurulatih, Conchita Martinez -- mereka berpisah pada 2018 selepas bintang Sepanyol itu meraih kejayaan Wimbledon pada 2017.

Bekas pemain nombor satu dunia itu melangkah ke separuh akhir pertamanya sejak Terbuka Perancis 2018 menerusi kemenangan meyakinkan ke atas lawannya selaku pilihan ke-30 itu.

Muguruza bakal menghadapi finalis 2018, Simona Halep, bagi mengintai slot perlawanan penentuan perseorangan wanita.

Sementara itu, Halep memastikan kemaraannya apabila mudah mengetepikan cabaran Anett Kontaveit 6-1, 6-1 dalam tempoh 53 minit.



Editor: Shaiful Shamsudin