Penganjur Terbuka Australia melewatkan pertarungan kelayakan hari ini selama dua jam disebabkan oleh kualiti udara yang sangat teruk ekoran kebakaran hutan belukar di negara itu.

Keadaan yang membahayakan kesihatan itu telah menganggu perlawanan kelayakan pertama semalam yang menyaksikan Dalila Jakupovic mengalami kecederaan lutut akibat terjatuh serta mengalami kesukaran untuk bernafas sehingga memaksa pemain Slovenia berkenaan untuk menarik diri ketika bertemu Stefanie Voegele.

Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Victoria berkata kualiti udara adalah sangat teruk dan ia dijangka meningkat berikutan kemungkinan ribut.

Justeru, perlawanan seterusnya ditetapkan akan berlangsung pada jam 1 petang waktu tempatan.

"Sesi latihan telah ditunda sehingga jam 11 pagi tadi berikutan kebimbangan mengenai kualiti udara dan perlawanan tidak akan bermula sebelum 1 petang," kata satu kenyataan daripada pihak Tenis Australia.

"Keadaan di Melbourne Park akan sentiasa dipantau dan keputusan selanjutnya akan dibuat menggunakan data yang diperoleh di gelanggang perlawanan selain kami akan mengadakan rundingan dengan pasukan perubatan, Jabatan Biro Meteorologi dan Saintis EPA Victoria.

"Data dan catatan di venue pertandingan pada awal pagi ini sama seperti semalam yang menyebabkan sesi latihan dan perlawanan terpaksa digantung. Keadaan semalam bertambah baik sepanjang hari, itulah yang berlaku.

"Sesi perlawanan dan latihan di Traralgon dan Bendigo, termasuk acara remaja di Royal Park, Melbourne, juga telah digantung."

Kebakaran di seluruh Australia itu mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 28 orang manakala anggaran seluas 10 juta hektar tanah telah terbakar sejak 1 Julai lalu.



Editor: Shaiful Shamsudin