Bekas pemain nombor satu dunia dan juara dua kali kejohanan grand slam, Yevgeny Kafelnikov, percaya ia merupakan sesuatu yang "tidak dapat dielakkan" untuk pemain Rusia meraih gelaran utama selepas tiga pemain negara itu menyinar dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia.

Buat kali pertama dalam sejarah era terbuka, tiga pemain lelaki Russia layak ke suku akhir kejohanan grand slam apabila Daniil Medvedev, Andrey Rublev dan pemain daripada pusingan kelayakan, Aslan Karatsev, melakukannya di Melbourne.

Pemain nombor empat dunia, Medvedev -- naib juara Terbuka Amerika Syarikat 2019 -- akan berdepan rakan senegaranya, Rublev, dalam suku akhir di Melbourne Park manakala Karatsev akan bertemu Grigor Dimitrov dalam penentuan ke separuh akhir hari ini.

Marat Safin merupakan pemain Russia terakhir menjuarai kejohanan grand slam dalam Terbuka Australia pada 2005 tetapi Kafelnikov teruja dengan masa depan pemain dari negaranya.

"Kita semua tahu bahawa ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan untuk mereka memenangi grand slam," kata Kafelnikov, yang merupakan pemain lelaki Russia pertama memenangi kejohanan grand slam dalam Terbuka Perancis pada 1996 dan Kejohanan Wimbledon tiga tahun kemudian, kepada ATPTour.com.

"Persoalannya adalah di mana dan bila."

Kafelnikov menambah: "Ia sememangnya sudah dijangka bahawa dua daripada mereka akan layak. Pemain ketiga itu merupakan satu kejutan tetapi kejutan yang amat menggembirakan.

"Saya amat gembira untuk Aslan, dia akhirnya dapat melepasinya.

"Dia kini akan melalui banyak kejohanan tanpa tekanan sepanjang baki musim 2021 daripada segi layak ke kejohanan utama dan menerima habuan besar juga akan menjadi pencetus semangat buatnya. Saya amat gembira buatnya," katanya.

Kafelnikov, yang memenangi 26 gelaran perseorangan, meneruskan bicara: "Sejujurnya, saya amat gembira jika mereka dapat menyamai atau mengatasi pencapaian saya daripada segi jumlah gelaran dan jumlah minggu di kedudukan nombor satu dunia.

"Saya akan gembira. Saya tidak akan cemburu mengenainya. Karier saya amat berjaya dan saya harap mereka akan mendapatkan (karier) yang lebih baik," katanya lagi.