Sofia Kenin menegaskan bahawa kecederaan kakinya semakin pulih ketika dia bersedia untuk mempertahankan kejuaraaannya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia.

Bagaikan perlawanan ulangan final Terbuka Australia tahun lalu, Kenin tewas 2-6, 2-6 kepada Garbine Muguruza dalam suku akhir Kejohanan Yarra Valley Classic semalam.

Kenin, 22, berkata dia bergelut dengan kecederaan kakinya dan berharap kecederaan itu tidak akan mengganggunya di Melbourne Park -- kejohanan grand slam pertama itu akan membuka tirai Isnin ini.

"Ia kecederaan kelangkang dan pinggul kiri saya, ia benar-benar sakit," kata pemain Amerika Syarikat itu dalam sidang media.

"Saya fikir saya banyak berurut semalam. Sebelum perlawanan itu juga saya ada berurut, mungkin sejam sebelum perlawanan mereka tamat. Saya hanya mengurutnya dengan Theragun. Ia semakin baik tetapi bukan berada di tahap terbaik. Sudah pasti dia (Muguruza) bermain dengan amat baik," katanya.

Kenin, yang akan menghadapi Maddison Inglis dalam perlawanan pusingan pertama Terbuka Australia, menambah: "Ia semakin baik, di mana saya juga tidak faham. Sejak perlawanan itu, hari ini ia menjadi lebih baik, Syukurlah.

"Amat jelas saya tidak akan merungut mengenainya. Saya mahu ia menjadi lebih baik untuk Terbuka Australia."