Roger Federer sekali lagi bangkit daripada permulaan goyah dalam set pertama untuk mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne malam tadi.

Pemenang 20 gelaran grand slam itu meningkatkan permainannya untuk mengatasi Marton Fucsovics 4-6, 6-1, 6-2, 6-2 di Arena Rod Laver.

Federer bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan John Millman dalam penentuan tie break set terakhir dalam pusingan ketiga kelmarin dan ramai tertanya-tanya sama ada perlawanan selama empat jam itu akan memberikan kesan kepadanya atau tidak.

Dia kelihatan kehilangan rentak dalam set pertama tetapi bangkit untuk memaparkan permainan terbaiknya bagi meraih kemenangannya yang ke-101 dalam Terbuka Australia dengan menundukkan pemain ke-67 dunia itu.

Federer akan menghadapi Tennys Sandgren dalam suku akhir dan berpotensi untuk bertemu Novak Djokovic dalam separuh akhir.

Terlalu banyak pukulan yang terkeluar menyaksikan Federer terlepas set pertama kepada Millman dan perkara sama kembali berulang ketika Fucsovics melakukan kejutan memenangi set pembukaan malam tadi.

Pemain berbangsa Hungary itu tidak berdepan masalah untuk mematahkan pukulan kilas Federer dan kelihatan amat selesa untuk membalasnya ke garisan belakang sebelum mendahului dalam game ketujuh.

Ketika penonton gusar dengan permulaan perlahannya, Federer mula menguasai set kedua dan memenangi mata break pertamanya ketika pukulan terus Fucsovics terkeluar.

Selepas mengatasi waktu sukar ketika servis di tangannya, Federer mendahului 5-1 dengan memanfaatkan kemahirannya di depan jaring sebelum menamatkan set itu dengan servis kencangnya.

Federer kemudian memulakan set ketiga dengan aksi meyakinkan menerusi variasi pukulannya yang gagal dibaca lawan.

Fucsovics cuba mengejar dengan menjadikan kedudukan 2-4 selepas tewas satu game kepada Federer tetapi dia gagal memukul bola yang betul-batul jatuh di atas garisan dan Federer memenangi satu lagi mata break dengan voli kencangnya.

Dengan segala-galanya sudah mula memihak Federer, yang memenangi keempat-empat cabaran Hawk-Eye, Fucsovics mula hilang semangat apabila melakukan kesilapan servis berganda dan beberapa pukulannya yang terkeluar menyaksikan dia ketinggalan 2-5.

Fucsovics kelihatan berdepan masalah dengan ketegangan tali raketnya tetapi tiada sebarang keresahan itu di tempat duduk penonton, yang bersorak keriangan apabila pukulan terus Fucsovics tersangkut di jaring pada mata akhir ketiga Federer.




Editor: Muzaffar Musa