Novak Djokovic mara ke suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia dengan menyingkirkan Milos Raonic dalam aksi empat set biarpun bergelut dengan kecederaan otot malam tadi.

Harapan Djokovic untuk mempertahankan gelarannya dalam kejohanan itu berdepan kesukaran selepas berkata dia mengalami "koyakan otot" dan tidak pasti dapat bermain dalam perlawanan pusingan keempat itu.

Tetapi sejarahnya mendominasi aksi menentang Raonic menjadi pemangkin semangat untuk dia turun beraksi dan melebarkan rekod pertemuannya dengan lawan itu kepada 12-0 selain turut merekodkan kemenangannya yang ke-300 dalam perlawanan grand slam -- menjadi pemain kedua dalam sejarah mencapai jumlah kemenangan itu.

Namun, ia ternyata bukan kemenangan mudah apabila Raonic menyamakan kedudukan dalam set kedua biarpun tewas dalam penentuan tie break set pertama.

Bagaimanapun, Djokovic kemudian kembali mempamerkan penguasaannya untuk memastikan kemaraan dengan kemenangan 7-6, 4-6, 6-1, 6-4 untuk bertemu Alxander Zverev dalam pusingan lapan terbaik.