Alexander Zverev berasa terkejut selepas Novak Djokovic dibatalkan penyertaan daripada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic, dibatalkan penyertaan selepas terpukul bola ke arah penjaga garisan dalam perlawanan pusingan 16 menentang Pablo Carreno Busta.

Ia bermakna, satu juara baru akan dinobatkan dalam kejohanan itu dengan Zverev antara pesaing utama di Flushing Meadows.

Bercakap selepas menewaskan Alejandro Davidovich Fokina 6-2, 6-2, 6-1, pemain pilihan kelima dari Jerman itu berkata dia seakan-akan tidak percaya Djokovic akan disingkirkan dengan cara seperti itu.

"Saya tidak fikir saya pernah dibatalkan penyertaan dalam karier atau hidup saya. Tidak, saya tidak pernah berada dalam situasi itu. Tetapi seperti yang saya kata, ia amat tidak bernasib baik, ia amat malang," kata Zverev dalam sidang media.

"Saya fikir keputusan itu dibuat oleh penyelia perlawanan dan seperti yang saya kata, mereka hanya melakukan tugas mereka.

"Tidak banyak yang saya boleh katakan mengenainya. Saya tidak tahu. Maksud saya, saya tidak tahu untuk berkata apa.

"Sejujurnya saya agak terkejut buat masa ini," katanya.



Zverev akan bertemu sama ada pemain pilihan ke-27 dari Croatia, Borna Coric, atau pemain Australia, Jordan Thompson, dalam separuh akhir.

Selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Australia tahun ini, Zverev berkata dia amat teruja dengan saingan kategori lelaki di New York.

"Akan ada seorang juara grand slam baru. Itulah yang saya tahu setakat ini.

"Tiada lagi pemenang grand slam yang masih bersaing dalam kejohanan ini.

"Saya fikir ia akan menjadi milik salah sorang pemain muda jika anda mengambil kira Dominic Thiem sebagai pemain muda. Dia juga amat jelas berpeluang untuk menjadi pemenang.

"Kini ia menjadi semakin menarik. Saya fikir ini masanya untuk ia menjadi amat menarik.

"Saya tahu siapa yang masih bersaing. Saya tahu siapa yang saya boleh tewaskan. Saya kenal baki pemain yang masih bersaing.

"Kita akan lihat sampai ke tahap mana kami mampu lakukannya," tambahnya.